Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

SSPN1M Umum Dividen Tahun 2017 Sebanyak 4 Peratus

By 30 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Halim Aman & Elyas Hisyam (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) bagi tahun 2017 sebanyak empat peratus di Menara PTPTN, di sini semalam.

Pengerusi SSPN1M, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata, “Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM92.56 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih 3.2 juta pendeposit SSPN1M”.

“Kadar empat peratus dividen SSPN1M tahun 2017 ini adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah di buat atas deposit yang telah diterima oleh PTPTN.

“PTPTN masih dapat mengekalkan kadar dividen SSPN1M yang diberikan seperti tahun sebelumnya walaupun 2017 adalah tahun yang sangat mencabar,” katanya.

Menurut Shamsul, selaras dengan hasrat serta pelbagai strategi bertemakan ‘Tahun 2017 Tahun Penabungan’, PTPTN telah berjaya melepasi sasaran deposit tahun 2017 (RM550 juta) bagi penabungan SSPN1M.

Tambahnya, prestasi penabungan SSPN1M juga meningkat sehingga RM727.40 juta pada tahun 2017 berbanding RM544.51 juta pada 2016.

“Sebanyak 447,039 akaun baharu telah dibuka oleh pendeposit pada tahun 2017 dan ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mulai sedar tentang kepentingan tabungan awal untuk pendidikan tinggi.

“Ini secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa rakyat telah membuat persediaan awal untuk pendidikan anak-anak pada masa akan datang dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman untuk pendidikan tinggi,” katanya lagi.

Jelas Shamsul, terdapat pelbagai keistimewaan yang diperolehi oleh pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM6 ribu, geran sepadan sehingga RM10 ribu jika anak berjaya ke institut pengajian tinggi bagi keluarga yang berpendapatan tidak melebihi RM4 ribu sebulan dan perlindungan takaful secara percuma.

Pada pembentangan Belanjawan Negara 2018, kerajaan telah mengumumkan tentang Pemberikan Insentif Khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul sehingga RM500 dalam akaun SSPN1M kepada warganegara Malaysia berumur tujuh hingga 12 tahun.

Bermula 1 Januari 2018, ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan sama ada melalui pembukaan akaun baru atau penambahan deposit akaun sedia ada untuk anak-anak mereka akan menerima Insentif Khas Geran Sepadan iaitu deposit percuma RM500 yang terhad kepada 500,000 akaun terawal.

PTPTN juga memperkasakan revolusi industri ke arah operasi secara tanpa tunai atau ‘cashless’ bagi tujuan pembukaan dan penambahan akaun SSPN1M.

Orang ramai yang ingin membuka akaun SSPN1M boleh layari laman sesawang SSPN1M di www.sspn1m.com.

– AH

Tinggalkan komen anda