Peluang Lanjut Pelajaran di KPTN Zon Labuan

KPTN 2018
Raisin (duduk empat dari kanan) dan Dullah (duduk empat dari kiri) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program.
Laporan oleh Siti Mariam Aziz Rashid / Foto : KPTN (Sabah)

LABUAN, 04 Feb. (Malaysiaaktif) – Program Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018 Zon Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bakal menemui warga Labuan selama dua hari bermula 17 Mac ini di Kompleks Ujana Kewangan di sini.

Karnival anjuran Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) ini dilaksanakan di seluruh negara mulai 27 Januari 2018 sehingga 7 April 2018 di beberapa lokasi.

Menurut Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Kota Kinabalu, Dullah Muluk, beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti merupakan penganjur bersama program tersebut di setiap negeri.

“Untuk Zon WP Labuan, Politeknik Kota Kinabalu telah diberi amanah untuk melaksanakan KPTN 2018 yang akan berlangsung selama dua hari di Kompleks Ujana  Kewangan,” katanya semasa menyampaikan taklimat sempena Mesyuarat Penyelarasan Program KPTN 2018 Zon W.P. Labuan di Jabatan Pendidikan Malaysia, Labuan pada Jumaat.

Tambahnya, karnival serentak dengan program KPTN 2018 Zon Sabah yang akan diadakan pada tarikh sama di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu.

“KPTN 2018 memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat terperinci berkaitan program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti,  Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan institusi lain di seluruh negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut Dullah berkata, beberapa aktiviti lain turut dijadualkan sebagai pengisian program KPTN 2018, termasuk kehadiran Ikon Belia Negara, Konsultasi UPU Online, Sudut Penajaan, Pameran Sains dan Inovasi, Ceramah dan Taklimat Kerjaya daripada wakil-wakil IPTA dan IPTS yang terlibat, serta pemeriksaan kesihatan percuma.

“Para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian tinggi disarankan untuk hadir ke program KPTN 2018 ini bagi mendapatkan maklumat jelas mengenai IPT dalam negara, termasuk pelbagai  program yang ditawarkan mengikut kelayakan akademik masing-masing,” tambah Dullah.

Para pelajar juga digalakkan membawa keputusan peperiksaan terkini bagi mempermudah urusan pemilihan IPTA/IPTS yang sesuai.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Raisin Saidin berharap orang awam serta pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia di W.P. Labuan, khususnya, serta di kawasan berhampiran dijemput hadir.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...