Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Pengampunan: RM10 Satu Kompaun Disambut Luar Biasa

By 5 Februari 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan : Noorayah Ganipin & foto : Hisham Dzid (Sabah)

KOTA KINABALU, 4 Feb. (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Hari Pengampunan RM10 bagi setiap kompaun oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)  mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat sekitar bandaraya.

Pengampunan bersempena sambutan Hari Bandaraya kali ke 18 ini menawarkan bayaran serendah RM10 bagi setiap kompaun yang melibatkan kesalahan letak kereta serta kesalahan lain yang berkaitan kupon letak kereta di bawah undang-undang kecil (Peruntukan tempat-tempat letak kereta awam)(Letak Kereta Berkupon).

Petugas bergerak DBKK bertugas memperjelaskan dan membantu orang ramai pada hari pengampunan tersebut.

Petugas bergerak DBKK bertugas memperjelaskan dan membantu orang ramai pada hari pengampunan tersebut.

Memandangkan penjimatan begitu ketara maka tidak hairan ramai yang tampil untuk membayar kompaun, antaranya Aira Hashim, 22, yang ditemui pada hari tersebut.

Dia amat berterima kasih kepada pihak DBKK kerana memberikan peluang kepada orang ramai untuk menjelaskan bayaran kompaun serendah RM10 ini.

Penguatkuasa DBKK, Fhony.

Penguatkuasa DBKK, Fhony.

“Sebelum ini bukan tidak ingin membayar saman atau kompaun tersebut cuma kemampuan agak terhad.

“Terima kasih DBKK kerana memberi jalan penyelesaian menjelaskan bayaran kompaun ini dan sekurang-kurangnya wujud kelebihan kewangan kerana selama ini saya terpaksa menabung bagi membayar kompaun tapi dengan adanya pengampunan ini saya guna berjimat dan masih mempunyai wang untuk membeli barang keperluan lain,” katanya lagi.

Caline Chia, Ketua Unit Deposit BSN Kota Kinabalu (dua dari kanan) bersama kakitangan bertugas.

Caline Chia, Ketua Unit Deposit BSN Kota Kinabalu (dua dari kanan) bersama kakitangan bertugas.

Seorang lagi, pembayar, Matthew John, 42, berkata saya berada di pusat bayaran kompaun ini seawal pukul enam pagi untuk berbaris dan menghampiri pukul tujuh pagi orang ramai sudah mula memenuhi kawasan tersebut.

“Saya memuji petugas-petugas kaunter dan juga sistem yang diguna pakai oleh pihak DBKK bagi memudahkan pembayaran  kompaun menggunakan susunan kehadiran.

“Kecekapan sistem ini banyak menggalakkan pembayar kompaun untuk hadir membayar sebab petugas baik dan memudahkan jadi semua orang datang untuk bayar”, katanya sambil berpuas hati dengan layanan yang diterima.

Petugas kaunter pembayaran yang hanya ingin dikenali sebagai Jefri berkata kaunter dibuka tepat pukul lapan pagi sehingga tiga petang sebelum dibuka semula pada pukul enam petang sehingga pukul 9.30 malam.

“Orang ramai yang ingin membuat semakan dan membayar kompaun boleh datang mengikut masa-masa tersebut bagi mengelakkan kesesakan”, ujarnya.

Datuk Bandar Raya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai turut serta dalam menandatangani surat saman orang ramai.

Datuk Bandar Raya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai turut serta dalam menandatangani surat saman orang ramai.

Selain itu, Penguatkuasa DBKK, Fohny berkata orang ramai boleh membuat bayaran kompaun di kaunter pembayaran DBKK atau UTC Kota Kinabalu sehingga 7 Februari ini tetapi perlu mendapatkan cop pengesahan terlebih dahulu, iaitu pada hari pengampunan ini sebelum membuat pembayaran di dua buah kaunter tadi.

“Apa yang perlu dilakukan oleh orang ramai adalah dapatkan cop pengesahan di kaunter untuk setiap kompaun yang diperoleh mereka sebelum membuat pembayaran sehingga 7 Februari ini.

Kadar pengurangan seumpama ini dilaksanakan DBKK bertujuan memudahkan orang awam menjelaskan kompaun letak kereta dan tunggakan caj tiket letak kereta awam.

Selain Hari Pengampunan, DBKK turut mengadakan beberapa aktiviti lain sempena Hari Bandaraya pada Jumaat ini, termasuk Upacara Menaikkan Bendera di Padang Merdeka diikuti perarakan ‘street parade’ dari Padang Merdeka ke Bangunan DBKK.

Aktiviti jualan gerai juga diadakan di Pekarangan Bangunan DBKK serta konsert mini sebagai penutup sambutan hari DBKK bagi tahun 2018.

Di samping kaunter-kaunter perkhidmatan DBKK, jabatan-jabatan lain seperti Bank Simpanan Nasional, Komuniti 1Malaysia Bandaraya Kota Kinabalu juga turut membuka kaunter masing-masing sebagai pilihan masyarakat yang ingin mendapatkan pelbagai maklumat lain selain melakukan pembayaran kompaun.

Turut diadakan Majlis Bacaan Surah Yassin, Tahlil dan Doa Kesyukuran pada khamis di Tingkat 1, Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda