Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Persiapan Terakhir Menjelang Tahun Baharu Cina

By 14 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Wee Kim Been & Khairunnisa Ismail (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Hanya tinggal dua hari sahaja lagi masyarakat Cina seluruh dunia akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, dan rata-rata sibuk membuat persiapan terakhir.

Kepada para peniaga, waktu inilah digunakan sebaik mungkin bagi melariskan barang jualan mereka dengan pelbagai promosi menarik.

Hasliza (kiri) membantu pelanggan memilih tanglung untuk dibeli.

Hasliza (kiri) membantu pelanggan memilih tanglung untuk dibeli.

Bagi Law Ai Suan, 52, setiap kali menjelangnya musim perayaan, beliau tidak ketinggalan merebut peluang menjana pendapatan melalui hasil jualan tanglung.

“Pelbagai jenis rekabentuk dipamerkan sebagai tarikan jualan dalam kalangan masyarakat Cina dan pelancong luar yang berkunjung ke sini,” ujarnya.

Menurut salah seorang pekerjanya, Hasliza Latif, 30, berkata setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, hasil jualan tanglung serta keperluan lain pada musim perayaan pasti berlipat ganda.

Berbeza pula dengan Kim Chu, 70, yang tidak menang tangan meneruskan legasi perusahaannya menjual kuih bakul dan tepung bungkus setiap kali tibanya perayaan Tahun Baharu Cina ini.

“Perniagaan ini mendapat sambutan yang cukup menggalakan dalam kalangan masyarakat Cina di sini yang mana kuih ini merupakan sajian utama dan wajib apabila menjelangnya tahun baharu.

Kim Chu dengan salah seorang pekerjanya sedang menyediakan tepung bungkus dan kuih bakul untuk dijual.

Kim Chu dengan salah seorang pekerjanya sedang menyediakan tepung bungkus dan kuih bakul untuk dijual.

“Kuih bakul ini dijual dengan harga sekitar RM14.00 dan RM18.00 sekilo bergantung kepada acuan yang digunakan. Dalam sehari saya dapat menghasilkan hampir 70kg kuih bakul untuk dibekalkan kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Kim Chu, permintaan kuih bakul ini bermula sebulan lebih awal sebelum menjelangnya Tahun Baharu Cina dan gembira kerana dapat memberi peluang kepada sebilangan generasi muda dalam mempelajari cara menghasilkan kuih bakul ini.

Kuih bakul atau “Nian Gao” merupakan sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut dan gula pasir serta dikukus hampir 16 jam dan apabila masak kuih ini berwarna kuning keemasan, dan mengikut kepercayaan masyarakat Cina, memakan kuih bakul dipercayai dapat membawa tuah.

– SH

 

Tinggalkan komen anda