Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Kelantan Catat Peserta Azam Tani Teramai

By 1 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Nur Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Kelantan menduduki tangga pertama di Malaysia dengan mencatat seramai 508 orang peserta AZAM Tani MARDI bagi tahun 2012 sehingga 2016.

Sebanyak enam daerah di negeri ini melaksanakan projek AZAM Tani MARDI dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM4.7 juta oleh Kerajaan Persekutuan sepanjang empat tahun pelaksanaannya.

Menurut Pengarah MARDI Negeri Kelantan, IR. Zainuddin Zakaria, usaha membasmi kemiskinan terus menjadi agenda utama kerajaan dengan pelbagai strategi dan kaedah telah diambil dan terbukti berjaya menurunkan kadar kemiskinan negara ke tahap paling rendah dalam sejarah.

Sebahagian daripada peserta AZAM Tani MARDI di Pejabat MARDI di sini semalam.

Sebahagian daripada peserta AZAM Tani MARDI di Pejabat MARDI di sini semalam.

“Pasir Puteh antara daerah yang mempunyai peserta projek AZAM Tani MARDI teramai iaitu 111 orang, peserta terlibat menjalankan pelbagai projek termasuk dalam skop tanaman, perniagaan hasil pertanian, perkhidmatan pertanian, kraftani dan jahitan.

“Hasil kecekalan para peserta serta usaha berterusan pembimbing daripada MARDI membuahkan hasil apabila 58.5% peserta dari negeri ini telah bebas daripada kemiskinan.

“Malah lebih membanggakan ada yang berjaya memperoleh purata pendapatan melebihi RM5,000 hingga RM15,000 sebulan,” katanya ketika merasmikan Majlis Silaturahim Peserta AZAM Tani MARDI Peringkat Daerah Pasir Puteh di Dewan Serbaguna, Pejabat MARDI di sini semalam.

Zainuddin turut berpesan kepada pembimbing MARDI serta peserta supaya tidak mudah berputus asa dan perlu mempunyai hubungan komunikasi yang baik supaya dapat mencapai kesepakatan dan kejayaan.

Projek 1AZAM atau dikenali sebagai “Akhiri Zaman Miskin” merupakan hasrat Perdana Menteri sebagai usaha meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar serta sebagai pemangkin ekonomi setempat.

Lima inisiatif dalam pelaksanaan program 1AZAM merupakan AZAM Niaga, AZAM Khidmat, AZAM Kerja, AZAM Bandar dan AZAM Tani yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Seorang peserta AZAM Tani MARDI, Wan Roslina Wan Hamat dari Jeram Linang, Pasir Puteh mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan serta MARDI diatas bimbingan nasihat serta bantuan yang diberikan.

“Bersyukur atas bantuan motosikal beroda tiga yang saya terima kerana kini saya dapat menjana pendapatan harian dengan menjaja ikan serta sayuran menggunakan kemudahan yang diberikan ini,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda