Kaul, Adat Lama Yang Masih Bertahan

kaulpenakub-4

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad & Remmy Sukup (Sarawak)

MUKAH, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Kaul merupakan upacara tahunan yang diraikan oleh masyarakat Melanau di sini yang merupakan salah satu adat yang paling lama dan masih diadakan sehingga kini.

Abdul Yakub Arbi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, berkata pada zaman dahulu, kaul merupakan salah satu perayaan yang sangat simbolik dari segi kepercayaan masyarakat Melanau dan merupakan satu upacara penyembahan.

“Dahulunya upacara seperti ini diadakan bagi memohon keberkatan agar diberikan kedamaian, keharmonian dan untuk meningkatkan hasil tangkapan atau tuaian.

Yakub menyarankan agar upacara Kaul dipelihara untuk generasi akan datang.

Yakub menyarankan agar upacara Kaul dipelihara untuk generasi akan datang.

“Dengan adanya upacara ini ia juga menandakan berakhirnya musim hujan di mana para nelayan dapat keluar menangkap hasil laut tanpa gangguan cuaca buruk,” katanya semasa merasmikan Pesta Kaul Kampung Penakub Indah (Ulu) di Balai Raya Kampung Penakub Indah (Ulu) di sini semalam.

Menurut Yakub,  walaupun sekarang ramai sudah menganut agama Islam dan Kristian, namun upacara ini terus dijalankan supaya tidak pupus ditelan zaman.

“Pelbagai cara dilakukan untuk mengekalkan budaya ini dan salah satu daripadanya adalah untuk mengekalkan kaul di peringkat kampung. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi muda untuk turut sama menyertai acara yang penuh tradisi ini.

“Kita berharap dengan usaha yang dilakukan pelbagai pihak hari ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai supaya sejarah masyarakat kaum Melanau ini tidak dilupakan,” ujarnya lagi.

Kaul dianggap sebagai satu pesta simbolik kebudayaan di Sarawak dan dianggap istimewa kerana dapat mengumpul semua masyarakat tidak kira dari dalam mahupun luar Mukah untuk sama-sama menyertai pesta ini.

Kaul Penakup: Jefri (pembawa Serahang) mengiringi Yakub (kiri), menuju tapak mendirikan Serahang untuk upacara doa.

Kaul Penakup: Jefri (pembawa Serahang) mengiringi Yakub (kiri), menuju tapak mendirikan Serahang untuk upacara doa.

Yakub turut menjelaskan, Kaul juga menjadi salah satu tarikan pelancong dari serata dunia di mana pesta ini turut dijadikan platform bagi peniaga-peniaga kecil dalam memperkenalkan produk tempatan mereka.

“Upacara seperti ini tidak boleh dilihat sebagai satu upacara yang tidak penting, dalam mengekalkan adat dan kebudayaan, kita harus bersama-sama menjayakannya supaya ianya kekal dan menjadi satu tradisi tahunan agar semua masyarakat dapat menikmati serta memahami adat budaya kita.

“Harapan saya agar program dan acara sebegini dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua komuniti kampung, Kaul telah dianggap sebagai medan penyatuan komuniti terbesar kaum Melanau dan merupakan keunikan acara ini,” tambahnya lagi.

Turut hadir bagi meraikan upacara tersebut  ialah Residen Bahagian Mukah, Awang Johari Awang Mustapha, dan Pengerusi Pengelola Kaul Kampung Penakub Ulu, Jefri Musa.

– SH

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...