Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Dedikasi dan Bertanggungjawab Ramuan Kejayaan Untuk Cemerlang

By 13 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad & Jaed Tepus (Sarawak)

KUCHING,13 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 38 pegawai dari Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak diraikan dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Perkhidmatan Lama di sini malam tadi.

Rajinah Sigu, 53, yang berasal dari Mukah antara penerima anugerah tersebut. Menariknya Rajinah telah menerima anugerah ini sebanyak lima kali sepanjang perkhidmatannya di institut tersebut.

“Berbekalkan semangat berdedikasi serta bertanggungjawab dengan setiap tugas yang diberikan, saya rasa ini adalah kunci kejayaan saya hari ini,” katanya yang ditemui sempena anugerah tersebut, di sini semalam.

Rajinah (kanan) menerima anugerah yang disampaikan Abang Johari.

Rajinah (kanan) menerima anugerah yang disampaikan Abang Johari.

Menurut Rajinah, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah anugerah yang diberikan kepada seseorang anggota tidak kira sama ada mereka berada di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) atau Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan yang diberikan.

“Selama saya bertugas, banyak pahit dan manis yang saya rasai dan banyak pengalaman yang diperolehi dalam pelbagai bidang, dan ternyata semuanya amat berbaloi.

“Setiap kali saya menerima anugerah saya sentiasa bersemangat, gembira dan berbanga. Anugerah ini juga dijadikan contoh kepada anak-anak saya agar mereka lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita mereka di alam pekerjaan,” ujarnya yang bertugas selama 23 tahun di institut ini.

Majlis anugerah tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurut Abang Johari, mereka yang mempunyai dedikasi akan menjunjung tinggi komitmen yang diberi tanpa mengingkari janji yang telah dibuat.

“Dalam berkerja, pelbagai dugaan  di tempat kerja menjadi bahan bakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik meskipun terdapat pelbagai kesulitan yang harus ditempuh.

“Bertanggungjawab dan kesanggupan untuk memikul serta melaksanakan tugas dengan sempurna merupakan kunci kejayaan utama,” ujarnya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, dan Pengarah Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, Datu Dr. Sabariah Putit.

– SH

Tinggalkan komen anda