Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Pasar Pagi Siti Khadijah Lubuk Rezeki Peniaga Tempatan

By 16 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Wee Kim Been & Rabani Nabi Ahmad (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Seawal pukul 7.00 pagi kedengaran riuh rendah tawar menawar pembeli dan penjual sekitar kawasan Pasar Siti Khadijah ini. Pasar pagi yang diwujudkan sejak 17 tahun yang lalu tidak pernah surut daripada aktiviti jual beli baik buat penduduk tempatan mahupun pelancong.

Menurut Hasmah Daud, 50, beliau berniaga di pasar ini sejak 10 tahun yang lalu menjual pelbagai hasil tangkapan laut seperti ikan, sotong, udang, ketam dan sebagainya kepada pengunjung di pasar berkenaan.

Golongan hawa lebih sinonim dalam berniaga berbanding lelaki di sini - Lijah Mamat.

Golongan hawa lebih sinonim dalam berniaga berbanding lelaki di sini – Lijah Mamat.

“Hasil tangkapan dari laut dibawa untuk dipasarkan terus kepada pembeli dan dijual dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Lijah Mamat, 67, di Kelantan golongan hawa lebih sinonim dalam berniaga berbanding kaum lelaki.

“Di sini orang perempuan lebih menonjol dalam urusan perniagaan, yang mana sebilangan besar para peniaga di sini terdiri daripada golongan wanita, itulah uniknya negeri Kelantan ini,” katanya yang ditemui berniaga di sini.

Kepelbagaian jualan menarik minat pengunjung untuk membeli di pasar ini.

Kepelbagaian jualan menarik minat pengunjung untuk membeli di pasar ini.

Sementara itu, Asmah Che Hassan 51, berkata dengan kudrat tulang empat kerat, beliau bersama rakannya membanting tulang menjual pelbagai kuih muih bagi menyara keluarganya.

“Melalui aktiviti perniagaan sebeginilah dapat merancakkan ekonomi keluarga dari terus dibelenggu dengan pelbagai masalah kemiskinan,” katanya yang berniaga di sini sejak tujuh tahun yang lalu.

Selain itu, dengan kewujudan pasar pagi ini juga menurut Azizah Jusoh, 57, yang dikenali sebagai ‘Kak Zah Ikan Kering Bekok’, pasar ini telah menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

“Suasana yang begitu unik dengan corak kehidupan dan adat resam yang terdapat di negeri ini menarik pelancong untuk terus berkunjung di sini, seterusnya secara tidak langsung juga peluang pekerjaan dapat diwujudkan,” katanya kepada pemberita.

– SH

 

Tinggalkan komen anda