Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Bengkel Tarian Tradisional Martabatkan Khazanah Negara

By 18 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Β Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad & Dayang Kina (Sarawak)

DALAT, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Bengkel Tarian Tradisional Dalat bertemakan “Berakar Rumbia Berinti Budaya” yang disertai 157 peserta daripada 17 kumpulan kebudayaan Daerah Dalat bertujuan memelihara dan mengekalkan khazanah negara.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berbangga dengan peserta yang mengikuti bengkel kali ini.

“Tarian merupakan salah satu daripada cabang kesenian. Seperti negeri-negeri yang lain, Sarawak sememangnya kaya dengan tarian tradisional dan terdapat pelbagai jenis tarian tradisional di Sarawak antaranya ngajat, koncong, datun julud dan banyak lagi.

Fatimah (tengah) bergambar kenang-kenangan bersama peserta bengkel.

Fatimah (tengah) bergambar kenang-kenangan bersama peserta bengkel.

“Seni tari tradisional bukan sesuatu yang mudah untuk dipersembahkan kerana memerlukan penghayatan yang tinggi diiringi minat dan keazaman yang tinggi,” katanya ketika merasmikan bengkel tersebut di Stadium Perpaduan Dalat, hari ini.

Menurut Fatimah, tarian tradisional memiliki keistimewaan tersendiri bermula daripada rentak, lenggok dan gaya si penari yang pasti membuatkan penonton memperoleh kepuasan yang sukar dimengertikan.

“Tarian tradisional merupakan seni warisan negara yang harus dipertahankan agar tidak dimamah zaman.

“Tarian tradisional ini bukan sahaja menjadi tunjang kepada identiti negara, malah berperanan sebagai daya penggerak dalam menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda,” katanya lagi.

PERSEMBAHAN :  Peserta bengkel mempersembahkan Tarian Melanau semasa majlis penutup di sini.

PERSEMBAHAN : Peserta bengkel mempersembahkan Tarian Melanau semasa majlis penutup di sini.

Bengkel Tarian Tradisional ini merupakan satu langkah permulaan dalam usaha mengekalkan khazanah negara.

“Dengan penganjuran bengkel tarian tradisional seperti ini juga, ia dapat membantu mengembangkan seni budaya dan warisan kepada golongan remaja dan masyarakat supaya warisan ini diteruskan oleh generasi muda.

“Tarian juga memupuk semangat cintakan seni budaya dan warisan dalam kalangan remaja dan masyarakat serta memberi bimbingan dan galakan yang berterusan kepada remaja dalam memartabatkan budaya negara,” katanya lagi.

Fatimah berharap pembelajaran terhadap seni ini terus dipraktikkan dan diteruskan.

Majlis turut menyaksikan penyampaian peruntukkan sebanyak RM500 bagi setiap kumpulan dalam menjalankan aktiviti kelab masing-masing.

-SH

Tinggalkan komen anda