Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kota Belud Daerah Pintar Pertama di Sabah 

By 19 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan:Asmidar Zainol / Foto: Johnny Joklis (Sabah)

KOTA BELUD, SABAH, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Koridor Digital Utara Sabah melibatkan kos sebanyak RM100 juta bagi memantapkan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi di zon utara Sabah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Projek ini bakal merangkumi jajaran pemasangan fiber dari Kudat hingga ke Tuaran ini juga turut menyokong Pelan Fiber Seluruh Negara yang telah diumumkan pada 2017.

“Rangkaian fiber di bawah pelan ini akan menghubungkan premis di utara Sabah yang melibatkan kawasan bandar, pinggir bandar dan zon terpencil bagi membolehkan segenap lapisan penduduk dapat mengambil manfaat dari ekonomi digital secara saksama,” katanya.

Salleh semasa manyampaikan ucapan perasmian

Salleh semasa manyampaikan ucapan perasmian

Salleh mengumumkannya semasa merasmikan Pelancaran Komuniti Pintar Kota Belud 2.0 di Dewan Tun Said, pada sabtu.

Tambahnya lagi, peruntukan tambahan RM20 juta bakal digunakan menambah baik beberapa program utama seperti mewujudkan inisiatif penyelesaian keselamatan pintar dengan kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Belud.

“Penambahbaikan sistem SAIFON sedia ada serta meningkatkan capaian komunikasi yang lebih baik di Kota Belud melalui penyediaan akses jalur lebar berkelajuan tinggi rangkaian tetap dan tanpa wayar.

“Selain itu, sebuah pusat penempatan banjir yang dilengkapi keupayaan digital atau Digital Hall juga bakal diwujudkan sebagai sebuah fasiliti yang menyediakan kemudahan capaian Internet dan ICT bagi kegunaan orang ramai,” ujarnya.

Salleh berkata, infrastruktur komunikasi di bawah Komuniti Pintar Kota Belud akan melibatkan teknologi baru yang dikenali sebagai perkhidmatan ‘Tanpa Wayar Ke Rumah’ atau ‘Wireless To The Home’ (WTTx).

“Perkhidmatan ini membantu meningkatkan capaian Internet berkelajuan tinggi di premis kediaman menggunakan teknologi jalur lebar tanpa wayar berkelajuan 20Mbps hingga 40Mbps,” tambahnya.

Untuk rekod, kawasan Kota Belud kini mendapat 90 peratus kawasan liputan 3G dan 100 peratus liputan LTE atau 4G.

Selain itu, sebanyak enam Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) dibina bagi kemudahan komuniti daerah ini mengakses internet.

Salleh meninjau pameran yang disediakan

Salleh meninjau pameran yang disediakan

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (MCMC) Tan Sri Dr Halim Shafie berkata, bagi menjadikan daerah Kudat hingga Tuaran sebagai kawasan digital, infrastruktur fiber diperlukan walau bagaimanapun tarikh pelaksanaannya masih dalam perancangan.

“Untuk Sabah bergerak ke arah digital, infrastruktur fiber amat diperlukan kerana infrastruktur fiber akan memberi kelajuan kepada internet.

“Kalau kita hendak internet lebih murah pun, infrastruktur fiber itu perlu ada,” katanya.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda