Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

North Borneo Youth Camp Bantu Tingkat Keyakinan Diri

By 21 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan oleh:Mohd Mahathir Halif / Foto: Mohd Mahathir Halif dan Facebook NBYC

KENINGAU, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 300 belia daripada seluruh negeri Sabah telah menyertai program tahunan North Borneo Youth Camp yang dianjurkan oleh Kelab Belia Keningau (KBK).

Program yang berlangsung selama tiga hari sehingga 19 Mac di Taman Bandukan Riverside Resort, Bingkor turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Keningau, Majlis Daerah Keningau dan Jabatan Penerangan Keningau.

Conney meminati perkhemahan sejak di sekolah rendah.

Conney meminati perkhemahan sejak di sekolah rendah.

Memasuki alam menengah membuka peluang kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad, Conney Manjamain, 13 menyertai aktiviti perkhemahan yang memang diminatinya sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Pada masa itu umur saya belum layak untuk menyertai perkhemahan ini, ditambah lagi kakak dan abang sering bertugas sebagai krew membuatkan saya cemburu kerana tidak dapat bersama melakukan aktiviti-aktiviti perkhemahan ketika itu.

“Tetapi kini bila di tingkatan satu barulah saya mendapat kebenaran dari ibu bapa untuk turut serta, ternyata banyak pengalaman dan kenalan baru yang saya peroleh semasa perkhemahan.

”Saya juga dapat merasakan perbezaan dalam diri saya daripada seorang yang pemalu menjadi seorang yang berkeyakinan selepas saja sesi “Ice Breaking” dan saya mula berkawan dengan ahli dari kumpulan lain.

Aktiviti Jungle Tracking paling mencabar buat Nursafiqah.

Aktiviti Jungle Tracking paling mencabar buat Nursafiqah.

“Saya berasa seronok dan berharap agar dapat mengikuti lagi perkhemahan ini di masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar SMK Keningau, Nursafiqah binti Amin, 20 berkata pengalaman menyertai perkhemahan tersebut tidak akan dapat di lupakan sampai bila-bila.

“Bertemu sahabat baru dan berkerja dalam satu kumpulan menambah keyakinan diri saya dan segala cabaran yang dilalui semasa perkhemahan mengajar saya erti sebuah pengorbanan.

“Apa yang paling mencabar adalah sewaktu ‘Jungle Trekking’ dimana kami terpaksa menempuhi pelbagai halangan di dalam hutan untuk mencapai destinasi.

“Selesai sahaja aktiviti, kami semua menarik nafas lega kerana semua halangan berjaya ditempuhi bersama, tahun depan saya akan turut serta perkhemahan ini lagi,” katanya.

Program yang dianjurkan sempena cuti persekolahan ini sangat bermanfaat kepada para belia untuk mengisi masa lapang dan pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program berlangsung seperti Explorace, Talent Night, Konsert, Kerja Amal dan banyak lagi.

Majlis Penutupan disempurnakan oleh Sahanip Jamil mewakili Penasihat Kehormat Kelab Belia Keningau, Datuk Sairin Karno merangkap Ahli Dewan Undangan N34 Liawan.

Pengerusi Kelab Belia Keningau, Rafie Robert turut merakamkan penghargaanya kepada Datuk Sairin kerana sentiasa membantu dan menyokong program yang dianjurkan oleh kelab demi pembangunan belia di Keningau.

”Sokongan dari para belia yang membuatkan kami bertekad untuk mengadakan program perkhemahan ini setiap tahun serta mendapat respon yang positif daripada belia yang mengikuti perkhemahan ini.

“Tahun ini kami terpaksa memendekkan tempoh perkhemahan kerana terikat dengan jadual ‘Visit Keningau Year 2018’ yang begitu padat.

“Insyallah kami akan berusaha untuk menambah baik dari segi prasarana dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan,” tambah beliau yang juga merupakan Pengerusi Penganjur.

– MRR

Tinggalkan komen anda