Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Felda Rai Bekas Kakitangan

By 22 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Suzilawati Kamarudin & Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)

SEREMBAN, 22 Mac (Malaysiaktif) –  Seramai 28 ahli Persatuan Bekas Kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Negeri Sembilan diraikan dalam Majlis Tautan Kasih di Kompleks Belia dan Sukan, di sini semalam.

Menurut Pengerusi Penyelaras Persatuan Bekas Kakitangan Felda Negeri Sembilan (PBKFNS), Azali Abdullah, bukanlah perkara mudah untuk membangunkan felda.

“Ada yang terkorban ketika sedang bertugas dahulu, bukan mudah hendak meneroka hutan tebal demi sebuah tanggungjawab,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Sebahagian daripada ahli persatuan yang hadir pada Majlis Tautan Kasih di Kompleks Belia dan Sukan, di sini semalam.

Sebahagian daripada ahli persatuan yang hadir pada Majlis Tautan Kasih di Kompleks Belia dan Sukan, di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilah, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM 25,000 untuk kegunaan persatuan demi menjaga kebajikan ahli persatuan bekas kakitangan Felda ini.

“Felda dahulu dan hari ini berubah mengikut peredaran masa, jika peneroka dahulu perlu sama-sama menebang hutan tetapi kini generasi kedua Felda sudah disiapkan rumah dan kebun untuk mereka usahakan, malah kerajaan negeri turut membenarkan anak-anak peneroka membina rumah di dalam kawasan lot tanah rumah induk, supaya mereka boleh menjaga ibu dan ayah mereka.

“Generasi kedua ini bukan sahaja boleh berbakti kepada kedua ibu bapa mereka, malah boleh turut menjana pendapatan sampingan dengan menternak lembu di kawasan Felda ini. Gunakanlah peluang yang kerajaan berikan ini dengan sebaiknya,” kata Mohamad ketika berucap merasmikan majlis.

Sementara itu, Faridah Ujang, isteri kepada bekas kakitangan Felda mengucapkan terima kasih kepada persatuan yang sentiasa mengadakan program kepada bekas kakitangan Felda.

“Dengan adanya persatuan ini, silaturrahim dan persaudaraan yang jauh menjadi lebih dekat dan erat. Suami saya berkhidmat lebih 25 tahun dengan Felda, sehingga hari ini Felda masih kukuh dan terus memberikan manfaat kepada peneroka, kakitangan serta bekas kakitanggannya,” ujarnya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Abu Ubaidah Redza, Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd. Ghazali Abdul Wahid dan  Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali.

– SH

Tinggalkan komen anda