Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Halal Fest 2018 Singapura – Buka Peluang Pasaran Baru Makanan Halal

By 2 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 

Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Othman & Mohd Suhazli Nordin

 

JOHOR BAHRU, 2 April (Malaysiaaktif) – Pengusaha Pau Goreng Wan Zaleha, Ummi Kalthum Muharam, 33, tidak menyangka rezeki kali pertama menyertai Program Halal Fest anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia mendapat sambutan luar biasa masyarakat Singapura.

Menurut Wan Zaleha, sepanjang empat hari program ini berlangsung, stok produk pau goreng yang dibawa syarikatnya habis dijual kepada pengunjung malah beliau terpaksa kembali ke kilang di Johor Bahru untuk menambah stok jualannya di sini.

Produk buah potong Fun Fruits turut mendapat sambutan hebat pengunjung di Singapura.

Produk buah potong Fun Fruits turut mendapat sambutan hebat pengunjung di Singapura.

Dia yang ditemui di Ekspo Halal Fest 2018 Singapura bertempat di Singapore Convention And Exhibition Centre semalam menambah “alhamdulillah, setiap hari kami perlu menambah stok yang baharu dan sasaran kami adalah untuk menjual sebanyak 4,000 paket tetapi saya terpaksa tambah lagi 500 paket atas permintaan yang tinggi.

Saya dah ambil semua stok di kilang kami di Johor Bahru dan hari ini kami jual semua yang ada untuk pengunjung di hari akhir ini,” jelas beliau.

 Penyediaan pes masakan yang mudah dan cepat dari produk syarikat Hazra membuatkan pengunjung berulang ke Halal Fest untuk belian kali kedua.

Penyediaan pes masakan yang mudah dan cepat dari produk syarikat Hazra membuatkan pengunjung berulang ke Halal Fest untuk belian kali kedua.

Beliau turut menambah, hasil dari penyertaan syarikatnya pada program ini, mereka telah terpilih untuk bekerjasama dengan salah sebuah pusat perniagaan di sini untuk membuka 10 buah kedai jualan Pau Goreng Wan Zaleha.

Seorang lagi peserta, Zulhairi Ibrahim, 32, pengusaha produk buah potong Fun Fruits, menyifatkan penyertaan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di pameran antarabangsa seperti ini memang sangat menguntungkan.

“Sambutan di sini, Alhamdulillah, untuk empat hari ini kami dapat mengumpul jualan sebanyak SD10 ribu hingga SD11 ribu. Kalau kali dengan RM3 duit Malaysia memang tinggi (keuntungan),” ujarnya lagi yang turut menggunakan platform media sosial untuk menggiatkan promosi produknya di Singapura.

Bagi pengusaha produk pes masakan, Nor Hathmina Ibrahim, 50, penyertaan syarikatnya pada program ini membuka peluang kepada beliau untuk menembusi pasaran di luar negara.

“Selama ini kami hanya beroperasi di Malaysia sahaja dan menerusi Projek Pembangunan Usahawan dan Perkhidmatan KEDA, saya berpeluang untuk mengekspot produk saya ke luar negara di Halal Fest buat julung kalinya.

Produk saya berasaskan pes seperti pes sambal tumis, pes mi kari, pes kuah yong taufu dan pes kuah satay dan sambutan sangat menggalakkan hinggakan pelanggan datang dan beli buat kali kedua,” tambah beliau dan berharap agar lebih banyak peluang dibuka kepada usahawan luar bandar untuk menerokai pasaran luar negara.

Halal Fest 2018 Singapura yang melibatkan 250 buah pempamer dari negara-negara seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia melabuhkan tirainya semalam dan akan bersambung dengan penganjuran Malaysia Fest Singapura pada bulan Ogos tahun ini.

  • MRR

Tinggalkan komen anda