Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

PLBE Gemas-Johor Bahru rangsang ekonomi Segamat dan Johor

By 3 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan & Foto Oleh : Norhasliza Hamzah & Fuad Abdullah (Segamat)

 

SEGAMAT, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru merupakan pemangkin kepada tahap pembangunan dan transformasi yang lebih pesat dan bermakna khususnya kepada daerah Segamat dan Johor secara keseluruhannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata demikian di dalam ucapannya pada Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru di Jalan Kolam Air, di sini, hari ini.

99 peratus kerja pembinaan PLBE libat kontraktor tempatan, beri peluang dan limpahan ekonomi kepada anak-anak tempatan – Najib Razak.

99 peratus kerja pembinaan PLBE libat kontraktor tempatan, beri peluang dan limpahan ekonomi kepada anak-anak tempatan – Najib Razak.


 

“Projek ini kita beri keutamaan walaupun ada cabaran-cabaran tertentu dari segi pelaksanaannya, namun hari ini, kita sudah sampai ke peringkat pelaksanaan, ianya akan dilaksanakan dan akan diliputi perjalanan sejauh 197 kilometer melalui 11 stesen yang sepanjang jalan ini (landasan), saya percaya aktiviti ekonomi akan dapat dirangsangkan lagi.

 

“Seperti dimaklumkan kepada saya oleh Menteri Pengangkutan, 99 peratus daripada kerja pembinaan (landasan) akan dibuat oleh kontraktor tempatan dan ini akan memberi limpahan kepada peluang ekonomi kepada anak tempatan,” katanya.

Projek ini akan menggantikan landasan tunggal sedia ada termasuk membina stesen baharu yang lebih moden, jejambat, terowong serta sistem elektrikfikasi dan sistem persemboyanan moden.

PLBE dari Gemas ke Johor Bahru merupakan pelengkap jaringan kepada sistem Landasan Berkembar Elektrik sektor Ipoh ke Padang Besar, sektor Rawang ke Ipoh, sektor Lembah Klang dan sektor Seremban ke Gemas.

Perkhidmatan tren penumpang berkuasa elektrik (ETS) akan diperkenalkan di atas landasan berkembar Gemas-Johor Bahru dengan kelajuan antara 140 sehingga 160 kilometer sejam, yang akan memendekkan tempoh perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Waktu perjalanan pengguna dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur Sentral akan dipendekkan kepada hanya empat jam manakala perjalanan dari Johor Bahru ke Padang Besar sejauh 915.7 kilometer hanya mengambil masa sembilan jam bila menggunakan perkhidmatan ETS.

Antara stesen baharu yang akan dibina adalah di Bandar Segamat, Labis, Bekok, Paloh, Bandar Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan Kempas Baru.

Tumpuan khusus turut diberikan kepada daerah Segamat, dengan pengumuman oleh Perdana Menteri bagi pembangunan semula Pelabuhan Darat (Inland Port) Segamat dengan kos RM20 juta melalui pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Atas permintaan Ahli Parlimen Segamat yang juga merupakan Menteri Kesihatan dan perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh Menteri Besar Johor, Perdana Menteri telah memasukkan Segamat ke dalam ECER kerana daerah ini mempunyai hubungan rapat antara Mersing dan Rompin, Pahang yang merupakan sebahagian daripada koridor wilayah berkenaan.

ECER meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, serta daerah Mersing di Johor. Dengan pengumuman ini, akan memantapkan pembangunan sosio-ekonomi daerah Segamat dan membawa lebih banyak manfaat kepada setengah juta penduduk di sekitar Segamat.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga merupakan Ahli Parlimen Segamat.

– MRR

Tinggalkan komen anda