Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri Sembilan

Ibu Bapa Disaran Jangan Lindungi Penagih Dadah

By 4 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Ramasamy Amas (Jempol)

JEMPOL, 4 April (Malaysiaaktif) – Ibubapa diminta untuk tidak mengabaikan masa depan anak-anak mereka bergelumang dengan najis dadah.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Nazira Sadiron, berkata ibu bapa harus segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya anak mereka terlibat dengan dadah.

“Ibu bapa jangan teragak-agak untuk terus laporkan kepada pihak AADK mahupun pihak Polis supaya kita sama-sama dapat selamatkan mereka daripada terus terjebak dalam kancah dadah,” katanya sempena Program Sokongan Tiada Penghujung 2018 yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Jempol, hari ini.

Forum diadakan untuk memberi pendedahan dan motivasi kepada Orang Kena Pengawasan (OKP) bahawa proses pemulihan daripada dadah mendapat perhatian dan sokongan semua pihak.

Menurut Nazira, sesiapa yang terlibat sebagai penagih dadah diibaratkan sebagai pengidap kencing manis dan darah tinggi dimana mereka perlu mengambil ubat berterusan.

“Apabila seorang itu menjadi penagih dadah mereka ini perlu diawasi hingga ke akhir hayat kalau tidak mereka akan kembali semula sebagai penagih dadah,” ujarnya lagi.

Progam kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Pejabat Daerah Jempol dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Jempol menampilkan Pengarah JASA, Mustaffah Nagoor dan Pegawai Daerah Jempol, Datuk Zazali Salahuddin.

Zazali menjelaskan Daerah Jempol akan dinaiktaraf sebagai Majlis Perbandaran pada bulan April ini dan menjadi hub bandar agropolis yang berasaskan industri pertanian dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Oleh itu, akan wujud banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia. Sekiranya belia terjebak dengan dadah maka kita terpaksa menggaji pekerja asing,” jelasnya.

Salah seorang OKP yang ditemui, berkata beliau terjebak sebagai penagih dadah kerana mengalami tekanan jiwa akibat daripada kehilangan punca pendapatan dan tidak dapat menyara hidup isteri dan tiga orang anak yang ketika itu masih kecil.

“Sekarang saya sudah bertaubat dan insaf. Apabila saya menyertai beberapa siri kaunseling dan mengikuti bimbingan agama, kini saya kemvali ke pangkuan keluarga dan membina kehidupan baharu bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda