Persepsi terhadap hospital perlu diubah

 

Laporan dan Foto Oleh : Fasharina Kholil dan Rasidi Che Sa

 

SIK, 17 Apr (Malaysiaaktif) – “Hospital kini mengamalkan konsep mesra pesakit agar orang awam yang datang, merasa lebih selesa dan tidak lagi takut untuk berurusan atau mendapatkan khidmat kesihatan, ” demikian ucapan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail sewaktu merasmikan Program Cakna Rakyat Hospital Sik “Mai Pakat Mesra HSik”di sini, semalam.

Simbolik penyerahan ambulan kepada Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid.

Simbolik penyerahan ambulan kepada Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid.

Norhizan turut menyaran agar orang ramai perlu mengubah persepsi mereka mengenai penjagaan kesihatan iaitu ‘hanya jumpa doktor apabila sakit’ bagi mengelakkan keadaan penyakit menjadi lebih teruk dan kronik.

Antara pameran yang disediakan kepada para pengunjung.

Antara pameran yang disediakan kepada para pengunjung.

Program kerjasama Hospital Sik dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sik ini, turut bertujuan untuk menyuntik kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga kesihatan.

Tambah Norhizan lagi,  kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui gaya hidup sihat semakin tinggi dalam kalangan masyarakat.  Selain mengambil kira soal pemakanan, melakukan senaman juga dianggap sebagai cara terbaik bagi mengekalkan kesihatan.

Jelasnya lagi, orang ramai tidak perlu lagi merasa takut bagi mendapatkan khidmat nasihat atau rawatan di hospital mahupun klinik kesihatan kerana semua Pegawai dan Kakitangan Kesihatan kini mengamalkan konsep mesra pesakit.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Hj Mohd Tajudin Abdullah turut mengambil kesempatan bagi melawat pesakit di wad.

Datuk Tajudin meluangkan masa untuk melawat pesakit di wad Hospital Sik.

Datuk Tajudin meluangkan masa untuk melawat pesakit di wad Hospital Sik.

“Namun begitu, orang ramai dinasihatkan agar lebih bersabar apabila mendapatkan perkhidmatan di hospital mahupun klinik kesihatan kerana jumlah pesakit yang datang bagi mendapatkan rawatan adalah ramai berbanding dengan jumlah kakitangan yang bertugas. Jadi saya berharap, agar orang ramai faham dan mematuhi prosedur kesihatan agar tidak timbul sebarang masalah di kemudian hari,” ujar beliau lagi.

Dalam majlis yang sama, Norhizan turut menyerahkan dua buah ambulan terpakai kepada Pengarah Briged Sukarelawan 1Malaysia, Mahadzir Abdul Hamid untuk kegunaan Briged Sukarelawan 1Malaysia.

Sementara itu, menurut salah seorang Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sik, Dulmataksiah Hassan, program ini wajar diteruskan dari masa ke masa bagi meningkatkan kesedaran kesihatan orang ramai khususnya masyarakat setempat untuk menjaga kesihatan.

Salah seorang Ahli Lembaga Pelawat, Dulamataksiah Hassan bersama salah seorang kakitangan hospital.

Salah seorang Ahli Lembaga Pelawat, Dulamataksiah Hassan bersama salah seorang kakitangan hospital.

“Program ini juga dapat mendekatkan warga komuniti dengan hospital sekaligus dapat mengubah pandangan orang ramai terhadap hospital.  Kalau sebelum ni (ini) bila sebut hospital orang rasa takut untuk mai (datang) tapi dengan penganjuran program seperti ini, orang ramai akan rasa lebih selesa untuk mai (datang) hospital,” jelasnya lagi.

– MRR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...