Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantanPutrajaya

Dua Tahun CTU KKMM Manfaatkan Penduduk Luar Bandar

By 21 April 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PASIR PUTEH, 21 April (Malaysiaaktif) – Program Menghubung Menyatu (CTU) yang dicetuskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), menyantuni masyarakat di luar bandar telah memanfaatkan ramai penduduk sejak dilaksanakan dua tahun dahulu.

Ketua Setiausaha KKMM Tan Sri Sharifah Zarah Syed Ahmad, menjelaskan program yang diterajui Menteri KKMM, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ini merupakan jaringan bersama program yang diinisiatif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“CTU merupakan cebisan kecil program NBOS yang besar itu yang dilaksanakan oleh semua kementerian dan agensi kerajaan dan pihak swasta.

Sharifah Zarah ketika melepaskan konvoi Kembara Jalinan Kasih, di sini siang tadi.

Sharifah Zarah ketika melepaskan konvoi Kembara Jalinan Kasih, di sini siang tadi.

“Setakat ini pihak kementerian telah melaksanakan pembaikan rumah, yang bagi saya amat mustahak buat masa ini,” katanya ketika sidang media di Kampung Tualang Rendah, di sini hari ini.

Sharifah Zarah yang turut menyampaikan titik sentuhan kepada masyarakat setempat sempena Program Negaraku: CTU @ Pasir Puteh berkata kementerian mempunyai dua skop utama untuk dilaksanakan iaitu mendigitalkan dan merakyatkan.

“Kita menyediakan infrastruktur jalur lebar, memberikan perkhidmatan informasi kepada penduduk kampung dengan membekalkan set televisyen dan sebagainya dan ini memudahkan capaian maklumat pada masa sekarang.

“Biarpun begitu, kami tidak melupakan mereka di kawasan pedalaman ini dengan sentiasa mengadakan program secara bersemuka sepertimana yang berlaku pada hari ini. Program bersemuka seperti inilah yang dinamakan humanise (merakyatkan),” tambahnya.

Zafarah (kanan, depan) bersama-sama ahli keluarganya menunjukkan isyarat gembira menerima pembaikkan rumah sempena program CTU-NBOS, di sini.

Zafarah (kanan, depan) bersama-sama ahli keluarganya menunjukkan isyarat gembira menerima pembaikkan rumah sempena program CTU-NBOS, di sini.

Menurut Sharifah Zarah lagi, KKMM membina 189 buah rumah di seluruh negara, di mana 149 buah telah siap sepenuhnya dan bakinya akan siap dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, seorang penerima bantuan pembaikan rumah di Kampung Tualang Rendah, Zafarah Md. Yunus, 32, yang sudah menetap di sini sejak enam tahun yang lalu berasa gembira kerana memiliki rumah yang sempurna.

“Rumah yang asal dahulu seperti sebuah kotak di mana semua aktiviti seperti memasak, makan dan tidur dilakukan di ruang yang sama, kini barulah saya rasa seperti tinggal di rumah.

“Kasihan kepada anak dara saya yang dahulunya tiada bilik sendiri tetapi sekarang tidak lagi perlu berkongsi dengan adik-adik lelakinya. Syukur dan terima kasih kepada semua yang membantu,” ujar ibu empat orang anak ini.

Tinggalkan komen anda