Kemenangan Menakjubkan Pakatan Harapan Akhiri Pemerintahan 60 Tahun BN

53208051
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan calon Parlimen Langkawi bersama Ahli Majlis Tertinggi Parti pada sidang media PPBM mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 hari ini. Turut hadir Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, calon HARAPAN bagi kerusi Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu, calon PKR Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang.

 

KUALA LUMPUR, 10 Mei —  Pakatan Harapan (PH), gabungan empat parti politik pembangkang yang baru dibentuk, menang besar pada pilihan raya umum Malaysia yang baru berakhir, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia hampir 93 tahun, berjaya dalam apa yang dilihat sebagai tugas mustahil untuk meraih sokongan besar rakyat bagi memecahkan genggaman kuasa BN yang sebelum peristiwa bersejarah hari ini, merupakan parti politik paling lama memerintah.

Dr Mahahir dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini. Dr Mahathir ialah Perdana Menteri keempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima tahun berturut-turut dari 1982 hingga 1999.

Ketika keputusan muktamad diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Hashim Abdullah pada kira-kira 4.45 pagi, PH yang berusaha dalam apa yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya menggunakan simbol mata biru sekutunya Parti  Keadilan Rakyat (PKR) , memenangi 113 daripada  222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah.

Ia dijangka mengukuhkan kedudukannya di Parlimen menerusi  lapan lagi kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah yang mengumumkan sebelum ini untuk menyertai PH di peringkat persekutuan.

BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak memenangi 79 kerusi, jauh berbanding 132 yang dikuasainya sebelum ini.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...