Skip to main content
Berita TempatanHome

Atas arahan bekas bos, Razak kemuka laporan terhadap Najib

By 14 Mei 2018Tiada komen2 minit bacaan

PETALING JAYA: Bekas pengarah risikan dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Idris membuat laporan terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat SPRM Kuala Lumpur, pagi Isnin.

Beliau membuat laporan tersebut selepas diminta oleh bekas majikannya untuk berbuat demikian bagi menghalang mereka yang terlibat dalam siasatan untuk melarikan diri.

“Saya sebenarnya diminta oleh bos saya dulu supaya datang buat laporan dengan segera agar Datuk Seri Najib, isteri, anak-anak dan proksinya tak sempat lari sebelum tindakan diambil.

“Itulah antara sebab saya buat laporan,” katanya ketika pemberita di luar Pejabat SPRM Kuala Lumpur, pagi Isnin.

Katanya, laporan dibuat terhadap Najib dan rakan-rakan sejenayah atau pesubahat kerana disyaki menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

“Mereka juga disyaki memiliki harta yang tidak dapat diperjelaskan (unexplained properties) dengan memuaskan,” katanya.

sp1

Pengamal media tempatan dan luar negara berkumpul di laluan keluar masuk di kediaman peribadi Najib di Taman Duta pada Isnin.

Abdul Razak yang juga bekas ahli jawatankuasa disiplin Umno berkata beliau akan membuat dua laporan di bawah Seksyen 24 Akta SPRM 2009, kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Satu lagi laporan dibuat di bawah Seksyen 36, dihukum di bawah Sek 36 (3) Akta SPRM 2009.

Ditanya tentang identiti bekas majikan yang didakwa memintanya membuat laporan pada hari ini, beliau enggan mendedahkannya.

“Tak bolehlah sebut siapa yang suruh lapor, mereka pun ramai yang takut atau malu.

“Saya ni berani sikit jadi saya memberanikan diri walaupun ada ahli keluarga bimbang saya diapa-apakan tapi saya kata tak apalah saya dah 69, kalau mati pun matilah, kerana negara,” katanya.

Abdul Razak berkata beliau tidak membuat laporan ini lebih awal kerana mendakwa tindakan itu hanya sia-sia.

“Tak jalan…seperti tuang air di daun keladi, ramai kawan saya dah buat report, tapi ‘tak jalan’.

“Tapi sekarang saya percaya ramai rakyat Malaysia akan tampil buat laporan,” katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2018/05/14/laporan-sprm-najib/#MiEp5KFQ1v0xpvwm.99

Tinggalkan komen anda