Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

SMK Oya Mukah Johan Forum Remaja Piala TYT 2018

By 14 Mei 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan : Genda Sating           Foto : Mahmud Sulaiman (Kuching)

KUCHING, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya Mukah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 dan piala pusingan Yang Dipertua Negeri apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan TYT Peringkat Negeri Sarawak 2018.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Abdul Taib Mahmud melahirkan hasrat agar ada dalam kalangan pelajar bukan melayu tampil menyertai pertandingan forum penggunaan Bahasa Melayu kerana dapat menggambarkan kemajuan penyebaran Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dalam masyarakat.

Johan Pertandingan dan Ahli Forum terbaik daripada SMK Oya Mukah merakam gambar kenangan bersama-sama hadiah kemenangan.

Johan Pertandingan dan Ahli Forum terbaik daripada SMK Oya Mukah merakam gambar kenangan bersama-sama hadiah kemenangan.

“Ini merupakan satu usaha yang patut diteruskan dari semasa ke semasa kerana sebagai sebuah negara berbilang kaum yang mempunyai bahasa ibunda masing-masing, pertandingan seumpama ini dapat membangunkan dan seterusnya memajukan Bahasa Melayu seperti mana yang dilihat pada hari ini,” katanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini hari ini.

Menurut Taib, antara matlamat pertandingan ini adalah untuk mewujudkan dan menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar sekolah.

“Ia juga bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berkeyakinan tinggi, berketerampilan, berkebolehan berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam Bahasa Melayu dengan baik dan berkesan.

Taib (tengah) menerima cenderamata daripada Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Abdul Adzis Abas.

Taib (tengah) menerima cenderamata daripada Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Abdul Adzis Abas.

“Secara tidak langsung pertandingan ini dapat membina hubungan kerjasama antara sesama pelajar dan pelajar dengan guru,” ujarnya lagi.

Sementara itu, SMK Marudi Miri dinobatkan sebagai Naib Johan dan di tempat ketiga SMK Kabong Betong. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000 dan RM3,000.

Selain hadiah wang tunai, para pemenang turut membawa pulang sijil watikah pengiktiran, buku dan majalah terbitan DBP.

Pertandingan ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah tingkatan empat, lima dan enam di seluruh Negeri Sarawak.

-SH

Tinggalkan komen anda