Tingkat Kesedaran Terhadap Pemuliharaan Alam Sekitar

1

Laporan dan foto: Siti Mariam Aziz Rashid

 

Kota Kinabalu, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 50 peserta terdiri daripada kakitangan akademik dan sokongan akademik Politeknik Kota Kinabalu (PKK) menyertai Program Hari Menanam Pokok Peringkat PKK di sini pada Selasa.

Program julungkali diadakan itu melibatkan penanaman 14 anak pokok pelbagai jenis buah-buahan tempatan antaranya Durian Musang King, Durian Dalit, Rambutan, Kelapa Mawar, Kelapa Gading, Bambangan, Tarap, Mata Kucing dan Mangga Chokanan.

Zainab sedang menyediakan tapak untuk penanaman pokok dengan dibantu oleh Dullah.

Zainab sedang menyediakan tapak untuk penanaman pokok dengan dibantu oleh Dullah.

Pengarah PKK, Zainab binti Othman berkata program ini adalah antara usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kakitangan dan pelajar  akan kepentingan menjaga dan memelihara alam sekitar.

“Di samping itu, ini adalah salah satu cara mendidik warga PKK khususnya para pelajar dalam mengenali jenis-jenis pokok dan buah-buahan yang ada.  Sebab kita maklum, golongan muda hari ini ramai yang hanya mengenali jenis-jenis buah-buahan tetapi tidak mengenali jenis pokok asal buah-buahan tersebut,” kata Zainab.

Zainab seterusnya berharap warga PKK akan dapat melihat hasilnya dalam beberapa tahun dan dimanfaatkan bersama.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam sedang dalam proses akhir penanaman anak pokok Durian Musang King.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam sedang dalam proses akhir penanaman anak pokok Durian Musang King.

Dalam program tersebut,  setiap Jabatan Akademik dan Unit Sokongan Akademik diperuntukkan hingga dua jenis anak pokok untuk ditanam mengikut jabatan masing-masing, seterusnya menjadi tanggungjawab jabatan dan unit masing-masing untuk memastikan kelangsungan anak-anak pokok yang telah ditanam.

Pengerusi JK PKK Green, Hairul Anuar Hussain

Pengerusi JK PKK Green, Hairul Anuar Hussain

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa PKK, Green Hairul Anuar Hussain berkata, program anjuran Jawatankuasa PKK Green itu adalah antara pelbagai program yang telah disusun dalam usaha untuk mencapai status kampus hijau menjelang tahun 2020.  Menurutnya, PKK telah mengisytiharkan kampusnya sebagai Kampus Sifar Polisterin yang telah dilancarkan pada bulan 15 Mac lalu.

“Kita berharap sokongan seperti yang ditunjukkan hari ini akan berterusan pada masa akan datang.  Program kesedaran seperti ini amat penting kerana ini adalah antara platform untuk kita membantu menambah penghasilan oksigen dan mengekalkan tahap kehijauan kualiti landskap dan alam sekitar yang sihat.  Di samping itu program ini juga dapat mengeratkan hubungan di antara para pensyarah dan kakitangan di institusi ini,” tambah Hairul.

 

 

-MRR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...