Malaysia Aktif - Bebas dan Diyakini

LoginRegister
Home
A+ R A-
14-08-2012

PDRM Teruskan Usaha Kukuh Integriti

Rate this item
(2 votes)

KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Sejumlah 73 aduan diterima oleh Suruhanjaya Integriti Malaysia dari Januari hingga April tahun ini terhadap anggota 19 agensi penguatkuasa melibatkan salah laku dan perbuatan tidak berintegriti.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima 49 aduan merupakan agensi penguatkuasa yang paling banyak menerima aduan dalam tempoh itu.


Bagi umum statistik itu sesuatu yang sudah dijangka, satu persepsi yang sukar diubah walaupun pelbagai usaha yang diambil untuk meningkatkan integriti pasukan.

Malah diburukkan lagi apabila masalah berkaitan integriti ini menjadi sasaran yang bermotifkan politik hingga menenggelamkan kejayaan dan jasa yang ditaburkan oleh pasukan polis.

Hakikatnya, jumlah pegawai dan anggota yang dilaporkan terlibat dalam salah laku adalah kecil, iaitu kurang satu peratus daripada lebih kurang 120,000 warganya. Namun kerana membawa nama pasukan, tempiasnya dirasakan oleh keseluruhan warga PDRM.

MASALAH TERPENCIL

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene berkata anggota dan pegawai yang terlibat dalam salah laku dan tindakan tidak berintegriti merupakan masalah segelintir individu dan bukan membabitkan keseluruhan pasukan.

PDRM telah menanam sifat-sifat integriti seperti berperibadi mulia dengan nilai-nilai seperti amanah, sabar, tidak melakukan rasuah, berlapang dada, telus dan bertanggungjawab pada setiap anggota dan pegawainya sebaik diterima masuk dalam pasukan.

"Penekanan itu dimulakan ketika latihan lagi dan mereka juga harus patuh kepada kod etika, piagam pelanggan, proses kerja serta pematuhan kepada amalan baik dalam pasukan agar tidak tersasar daripada matlamat organisasi.

"Jadi maksud integriti itu meluas bukan sahaja rasuah. Ia perlu dihayati setiap warga PDRM, bagi mempamerkan imej PDRM yang berintegriti dan menjadikan etika sebagai budaya organisasi," katanya di Bukit Aman baru-baru ini.

Bagi menentukan standard profesional PDRM, Urusetia Tatatertib memainkan peranan penting memastikan mereka yang melakukan kesalahan atau menyeleweng, tidak berdisiplin dan sebagainya dikenakan tindakan.

Sehingga pertengahan tahun ini, 92 orang daripada 11,018 pegawai dan 802 orang daripada 100,278 anggota telah dikenakan tindakan digantung dan ditahan kerja atas pelbagai kesalahan.

"Menzahirkan integriti bukan satu tugas yang mudah dan perlu dipikul oleh seluruh warga PDRM bermula di peringkat akar umbi selain menunjukkan kepada masyarakat bahawa keutamaan PDRM adalah memantapkan integriti pasukan," katanya dan menambahkata PDRM bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia untuk melaksanakan program integriti dalam pasukan.

MASALAH YANG SERING BERLAKU

Terdapat banyak perlakukan salah yang menunjukkan ketiadaan integriti. Rasuah, salahguna kuasa dan masalah disiplin merupakan antara perlakuan itu.

Tetapi masalah itu tidak berakhir di situ sahaja!

Tidak menghormati ketua, suka menyalahkan orang lain dan menganggap hanya dirinya sahaja yang betul antara masalah yang bukan sahaja terdapat dalam polis tetapi juga dalam setiap pekerjaan. Ini merangkumi masalah sikap, tingkah laku emosi dan nilai hidup individu berkenaan, katanya.

Kajian yang dilakukan oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) mendapati masalah-masalah ini kerap berlaku kerana individu itu tidak berintegriti.

"Sebagai contoh, lambat datang bertugas. Individu akan salahkan kesesakan lalulintas, salahkan kereta, salahkan itu dan ini.

"Sikap ini banyak berlaku dan individu ini tidak menganggap lewat hadir bertugas itu sebagai satu kesalahan disiplin serta tidak bertanggungjawab pada tugasnya," katanya.

Selain itu masalah disiplin lain, antaranya tidak mematuhi arahan, ponteng, rasuah, penagihan dadah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, penyelewengan kuasa, berfoya-foya dengan mengunjungi pusat hiburan serta mempunyai hubungan sulit, katanya.

Masalah kesihatan juga antara punca seseorang individu itu tidak berintegriti, terutama kegagalan untuk mengendalikan tekanan sama ada tekanan tugas, keluarga atau sekeliling.

Masalah ini menjadi sukar kerana kebanyakan mereka kelihatan normal tetapi dalam keadaan dan masa tertentu, perangai dan tingkah laku berubah dan sukar dikawal.

Beliau berkata adalah menyedihkan apabila melihat anggota dan pegawai bertindak diluar kawalan hingga ada yang mencederakan orang lain, ada yang bertindak membunuh diri ataupun tindakannya itu akhirnya menyebabkan kehilangan nyawa orang yang tidak bersalah.

"Selain itu, aspek kepimpinan dan penyeliaan juga turut menjadi puncanya di mana keputusan yang tidak tepat dibuat dan sebagainya," katanya.

PUNCA BERLAKU MASALAH INTEGRITI

Kelemahan kendiri juga menyebabkan berlakunya masalah integriti dalam pasukan. Ini termasuk kegagalan individu membentuk imej yang baik, rasa tanggungjawab yang tinggi serta gagal mengawal perasaan kecewa.

Selain itu pegangan agama yang kurang, masalah moral dan etika serta ego yang terdapat dalam dirinya juga menjadi faktor penyumbang.

Mortadza berkata keadaan ini diburukkan lagi apabila memilih persekitaran sosial yang salah yang menyebabkan mereka mudah dipengaruhi.

"Kebanyakan individu ini tidak mempunyai sikap kekitaan pada pasukan di mana masing-masing lebih mementingkan hal sendiri.

"Ditambah dengan ketiadaan 'role model' positif, nilai dan disiplin yang tinggi, seseorang itu mudah terbabit dalam salah laku, penyelewengan, rasuah dan sebagainya," kata beliau.

PEMANTAUAN ANGGOTA DAN PEGAWAI

PDRM, katanya, telah memperkenalkan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) kepada pegawai dan anggota bagi membanteras gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah, salahguna kuasa mahupun rasuah.

Melalui SKDD, kawalselia terhadap pegawai dan anggota yang diletakkan di bawah seliaan seorang Pegawai Penyelia menjadi lebih berkesan.

Dengan cara ini juga penyelia dapat mengetahui kreativiti pegawai yang diselia, prestasi petugas dan tanggungjawab ke arah mencapai matlamat organisasi.

"Pegawai yang diselia boleh mengaju masalah mereka terutamanya mengenai hal-hal kebajikan diri dan keluarga kepada pegawai atasan.

"Ini mewujudkan hubungan baik antara anggota, pegawai dan pegawai penyelia dan secara tidak langsung cara pemantauan ini menutup ruang bagi mereka melakukan sebarang salah laku," katanya.

Melalui BAKA pula, pelbagai program bimbingan dan pemulihan dijalankan terutama bagi meningkatkan kendiri individu itu antaranya melalui Program Insan Sejahtera Minda (Prism) serta seminar yang berkaitan agar mereka mampu menangani masalah yang dihadapi.

Sesi kaunseling turut diadakan secara individu atau kelompok serta merujuk individu kepada pakar psikiatri apabila perlu.

"Kita juga menjalankan program pemantauan yang mana akan dinilai pada setiap enam bulan, sembilan bulan dan 12 bulan untuk tahun pertama dan setiap enam bulan pada tahun seterusnya.

"Ini bertujuan melihat keberkesanan program yang telah dijalankan terhadap individu terbabit," katanya.

Dengan jumlah keanggotaan dan bidang kuasa yang luas berbanding agensi penguatkuasa lain, PDRM juga sentiasa menambahbaik sistem, prosedur dan peraturan dalam melaksanakan tugas bagi mengurangkan ruang dan peluang terutama untuk berlakunya rasuah.

Sebagai contoh, katanya, dengan mengurangkan kerenah birokrasi dengan mengautomasi aliran kerja yang berkaitan misalnya dalam membuat laporan polis, amalan rasuah dan lain-lain lagi dapat dikurangkan.

BERI MAKLUMAT

Masyarakat juga boleh membantu PDRM dalam meningkatkan integriti pasukan dengan memberi maklumat dan membuat laporan bagi perkara-perkara berkaitan integriti termasuk rasuah, salah laku dan penyelewengan.

Unit Aduan Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman berfungsi untuk menerima segala aduan orang ramai, katanya.

Pelbagai bentuk aduan diterima seperti pengadu menghantar sendiri surat, melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS), emel, dan melalui telefon.

"Setiap aduan akan diproses dan siasatan akan dijalankan bagi memastikan kesahihan aduan dan siasatan dijalankan secara telus serta menyeluruh bagi memastikan keadilan bagi kedua-dua pihak," kata beliau dan menambahkata PDRM telus dan serius dalam menangani masalah integriti dalam pasukannya.

Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
Last modified on Tuesday, 14 August 2012 18:36

Premium Joomla Templates

Dalam usaha kami memastikan informasi tepat dan lengkap di laman Malaysia Aktif, tiada 'representation' di tekankan atau 'implied' dirujuk keatas informasi ini
While we make every effort to ensure the accuracy of the information contained in Malaysia Aktif, no representation expressed or implied is made in respect of the said information.

Login