Malaysia Aktif - Bebas dan Diyakini

LoginRegister
Home
A+ R A-
16-08-2011

Penghayatan prinsip Rukun Negara semakin luntur

Rate this item
(2 votes)
Penghayatan prinsip Rukun Negara semakin luntur Foto oleh Aziz AS

KUALA LUMPUR (Malaysiaaktif) – Penghayatan terhadap falsafah Rukun Negara di kalangan sebahagian besar rakyat ketika ini berada pada tahap membimbangkan dan falsafah di mana prinsip-prinsip yang mendukung Rukun Negara itu tidak lagi tersemat kukuh di hati seperti mana generasi terdahulu.

 

Tidak dinafikan setiap daripada kita tahu kelima-lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada pembentukan negara. Tetapi tidak ramai yang benar-benar faham atau menjadikan prinsip-prinsip tersebut sebagai asas dalam pembentukan jati diri sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, cintakan negara dan cintakan kedamaian.

 

Berbeza dengan generasi terdahulu yang merasai sejarah hitam membabitkan isu perkauman. Mereka lebih peka kerana sejarah hitam itu sudah cukup untuk mengajar mereka pentingnya untuk hidup saling hormat menghormati sesama kaum, memelihara keamanan dan kestabilan negara.

 

Hari ini sudah ada rakyat yang tidak lagi mendukung prinsip kedua – kesetiaan kepada raja dan negara. Undang-undang tidak lagi dihormati atau diangkat sebagai satu bentuk sistem keadilan, sebaliknya kerap kali dipersoalkan.

 

Sebahagiannya lagi sudah berani mencabar dan mempersoalkan Perlembagaan Negara apabila mempersoalkan tentang hak dan keistimewaan sesuatu kaum seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

 

Paling menyedihkan apabila semakin ramai yang sudah jauh lari daripada tata susila kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

 

Menyingkap apa yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan – sejauh mana rakyat Malaysia, khususnya generasi muda benar-benar faham dan mendukung prinsip dan falsafah yang terkandung di sebalik Rukun Negara?

 

Malah sejak kecil kita didedah dan diasuh dengan kelima-lima prinsip Rukun Negara, tetapi sejauh mana kita faham akan falsafah di sebaliknya dan mengamalkannya sebagai salah satu daripada cara hidup kita?  Jika yang berumur setengah abad pun tidak dapat menjelaskan dengan tepat falsafah di sebaliknya, apatah lagi golongan remaja yang kebanyakannya tidak mengambil kisah. 

 

Sebenarnya kelima-lima prinsip Rukun Negara ini berkait rapat dengan kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia. Di dalamnya terangkum ke semua nilai-nilai hidup yang menjadi pegangan kita – memegang serta mengamalkannya tanpa rasa berbelah bagi untuk memastikan bukan sahaja rakyat negara ini hidup aman damai tetapi juga memastikan keamanan dan kestabilan negara terjamin.

 

Ketika kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54 tahun, adalah penting bagi seluruh rakyat Malaysia menilai semula tujuan dan kepentingan Rukun Negara dibentuk dan diisytiharkan,  iaitu untuk memelihara keharmonian kaum dan memastikan kedaulatan negara tidak diganggu gugat. Ini antara tujuan Rukun Negara dibentuk dan diisytiharkan oleh Yang Dipertuan Agong pada 31 Ogos 1971 semasa menyambut hari kemerdekaan yang ke-13.

 

Ia merupakan satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran Malaysia yang diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang memikul tanggungjawab menjalankan pemerintahan negara apabila sistem kerajaan berparlimen digantung pada 16 Mei 1969 ekoran rusuhan kaum. MGERAN ditubuhkan bagi memulihkan perpaduan kaum yang semakin goyah ketika itu.

 

Malangnya hari ini banyak pihak menutup mata dan menolak tujuan dan kepentingan. Mereka menggunakan rukun keramat itu bagi kepentingan peribadi dan politik kepartian. Isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan kaum disentuh tanpa rasa bersalah. Bayangkan kepayahan yang diharungi setelah 54 tahun kita berusaha memupuk perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum.

 

Sebagai sebuah negara yang dilatari masyarakat berbilang kaum, berbilang kepercayaan, berbeza budaya dan bahasa, semangat memupuk perpaduan menjadi asas pembentukan negara paling utama. Sejarah telah membuktikan, bahawa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 menuntut setiap rakyat berusaha menjalin dan mengekalkan perpaduan kerana ia menjadi benteng pertahanan negara di masa depan.

 

Di bahu generasi muda hari ini terpikul amanah dan tanggungjawab tersebut. Malangnya sebahagian generasi muda turut diheret dalam kancah politik perkauman dan kepartian di mana tindakan-tindakan pihak berkepentingan ini tidak membantu generasi muda untuk menggalas tugas memelihara negara di masa depan.

 

Apabila isu-isu perkauman atau apa sahaja yang boleh menggugat keharmonian kaum dipolitikkan, kebanyakan remaja yang pada umumnya berjiwa rapuh, mudah terpengaruh dengan sentimen-sentimen sehingga merosakkan segala usaha untuk memupuk perpaduan dan semangat cintakan negara.

 

Semangat patriotisme juga semakin luntur apabila ada di kalangan kita sanggup menggadai maruah negara untuk kepentingan peribadi sedangkan kita tahu semangat cintakan negara mempunyai hubung kait begitu rapat dengan falsafah Rukun Negara.

 

Di dalamnya turut terangkum landasan mengekal ideologi nasional bagi memastikan kemakmuran dan kestabilan negara, kerana antara objektif atau matlamat Rukun Negara adalah untuk mencipta masyarakat adil supaya kemakmuran dapat dinikmati secara adil dan saksama – selain untuk mencapai perpaduan lebih erat.

 

Jika ditanyakan kepada generasi muda hari ini, apakah mereka faham dan menghayati falsafah di sebalik Rukun Negara, tentu sebahagian besar daripada mereka gagal untuk memberikan interpretasi yang tepat.

 

Di sinilah pentingnya generasi muda didedahkan dengan sejarah agar  mereka lebih faham dan sedar akan proses pembentukan negara yang berasaskan pelbagai kaum. Mereka juga perlu diasuh dengan menjadikan sejarah hitam membabitkan perkauman di negara ini sebagai satu pengajaran dan peringatan agar sentiasa peka dan menjaga keharmonian demi kestabilan negara di masa depan.

Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
Last modified on Tuesday, 16 August 2011 13:22

Premium Joomla Templates

Dalam usaha kami memastikan informasi tepat dan lengkap di laman Malaysia Aktif, tiada 'representation' di tekankan atau 'implied' dirujuk keatas informasi ini
While we make every effort to ensure the accuracy of the information contained in Malaysia Aktif, no representation expressed or implied is made in respect of the said information.

Login