Malaysia Aktif - Bebas dan Diyakini

LoginRegister
Home
A+ R A-
24-04-2012

RTC Kota Baharu Untuk Manfaat Masyarakat Pertanian

Rate this item
(0 votes)

KOTA BAHARU, 24 April -- Petani dan peniaga di Kelantan telah memperoleh banyak manfaat daripada Terminal Agribisnes Negara, di Bandar Baru Tunjong dekat sini, yang lebih popular dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Teman.

Bagaimanapun pada 4 Mei 2012, Teman akan memperoleh nama baharu iaitu Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Baharu, yang akan memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang ekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar di negeri ini.


Teman, yang beroperasi lebih setahun lalu di Bandar Baru Tunjong dekat sini, adalah berteraskan kepada sistem pemborongan dan pengedaran, yang ternyata memberi kepuasan kepada mereka yang berurusan di situ khususnya golongan peladang, penternak dan nelayan.

RTC Kota Baharu menjadi pusat sehenti, mengintergrasi aktiviti seperti pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil keluaran pertanian serta menyediakan perkhidmatan perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik kesihatan dan ruang niaga.

Pengarah Wilayah Fama Mohd Ariffin Awang berkata perubahan Teman menjadi RTC Kota Baharu bertujuan menyediakan pendekatan komprehensif dalam membaiki kehidupan dan produktiviti masyarakat sektor pertanian negeri.

MENGGUNAKAN KEMUDAHAN SEDIA ADA

RTC Kota Baharu, yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan beroperasi menggunakan kemudahan sedia Teman, yang dibina dengan kos RM140 juta di kawasan seluas 20.8 hektar. Kemudahan itu termasuk dua blok pemborongan - bagi sayur-sayuran dan buah-buahan, ikan, ayam dan daging - dan blok pentadbiran tiga tingkat.

Blok pemborongan yang berbumbung itu memberi keselesaan kepada mereka yang berurusan di situ, yang turut menyediakan 1,000 petak letak kereta percuma, untuk kemudahan peniaga dan orang ramai.

Blok pentadbiran tiga tingkat itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang pejabat, bilik seminar dan ruang pameran.

POTENSI UNTUK SEKTOR PERTANIAN

Mohd Ariffin menarik perhatian bahawa jika jualan yang dicatatkan sebanyak RM90 juta oleh 391 peserta dijadikan ukuran, sektor pertanian menjanjikan pulangan lumayan dan pastinya akan membantu merubah kehidupan yang lebih baik penduduk luar bandar.

"Pada tahun ini kami mensasarkan nilai jualan oleh 404 peserta sebanyak RM180 juta dan kami yakin jumlah itu boleh dicapai memandangkan bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, nilai jualan sudah mencapai RM37 juta iaitu melebihi sasaran awal sebanyak RM30 juta," kata Mohd Ariffin yang juga Pengarah Teman.

Bagi tempoh Januari dan Februari itu, sayur-sayuran mencatat jumlah nilai jualan terbesar iaitu RM10.3 juta diikuti buah-buahan lebih RM2 juta dan ikan laut/ikan air tawar lebih RM2.9 juta.

PERKHIDMATAN SOKONGAN

Beliau berkata jika peranan Teman terhad dalam membantu memasarkan produk peladang, penternak dan nelayan, RTC berperanan sebagai pusat perkhidmatan bersepadu yang komprehensif kepada pengusaha agro dan orang ramai seluruh Kelantan.

RTC meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian, perkhidmatan perbankan dan insurans, perkhidmatan perundingan perniagaan, latihan kemahiran, rawatan kesihatan, ruang niaga, dan banyak lagi perkhidmatan yang ditawarkan mengikut keperluan.

"Peladang, penternak dan nelayan dapat berniaga di RTC Kota Baharu ini dengan selesa memandangkan semua kemudahan yang diperlukan mereka sudah disediakan, malah mereka, terutama golongan belia yang baru berjinak dengan dunia perniagaan pun boleh dengan mudah memperoleh ilmu dan kemahiran berniaga di sini," katanya.

Setakat 8 April, pihak yang telah beroperasi di bangunan pentadbiran, termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Groom Big, Agrobank, Kontena Nasional, Dome Technologies Sdn Bhd/Sime Darby, Murni Marketing Sdn Bhd, Tekun Nasional serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Agensi perkhidmatan yang beroperasi di blok pemborongan pula ialah Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Telekom Malaysia, Pusat Perkhidmatan Kesihatan 1Malaysia, Lembaga Knaf dan Tembakau Negara, Lembaga Pertubuhan Peladang, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kios Informasi 1Malaysia kendalian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

"Beberapa lagi jabatan, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan telah menyatakan komitmen untuk turut serta beroperasi di RTC Kota Baharu ini yang sekaligus menjadikan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan rakyat boleh diperolehi di bawah satu bumbung di sini," kata Mohd Ariffin.

Mohd Ariffin berharap dengan kemudahan yang disediakan, penduduk luar bandar dapat menggunakannya sebagai peluang untuk meningkatkan pendapatan, mencari peluang pekerjaan, menambah ilmu keusahawanan dan sebagainya.

PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR

RTC ialah satu daripada mekanisme di bawah Program Transformasi Luar Bandar dengan KKLW dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengetuai pelaksanaan programnya di seluruh negara, manakala kementerian lain yang terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan.

RTC perintis ialah RTC Gopeng di Perak yang dilancarkan Perdana Menteri pada 18 Feb 2012.

RTC akan diperluas dengan penambahan empat buah lagi yang bakal dibuka iaitu di Kuala Kedah (Kedah), Kuala Linggi (Melaka), Tanjung Manis (Sarawak) dan Pekan Nanas (Johor).

Bercakap kepada pemberita semasa melawat Kelantan baru-baru ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata RTC merupakan pelangkap kepada Program Tranformasi Luar Bandar yang memberi manfaat kepada rakyat di luar bandar.

Sebagai satu daripada kementerian yang menjadi pelaksana RTC, KKLW membantu penduduk luar bandar dengan menyediakan peluang latihan secara berterusan kepada masyarakat luar bandar di RTC dan kawasan sekitar, bertujuan menambah pengetahuan, kemahiran dan keupayaan bagi meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan dan taraf hidup.

Antara latihan yang ditawarkan ialah keusahawanan, motivasi keusahawanan, pembungkusan dan penjenamaan, persembahan produk, pengurusan makanan ternakan, teknik fertigasi dan pelbagai bidang kemahiran lain.

"RTC bertindak sebagai pusat sehenti yang kelak membolehkan sesuatu produk yang dihasilkan penduduk luar bandar dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya dapat menembusi pasaran eksport," kata Shafie.

SATU HENTIAN PELBAGAI PERKHDIMATAN

RTC merupakan sebuah tempat yang melaksanakan inisiatif-inisiatif RTC secara bersepadu yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan konsep "Satu Hentian, Pelbagai Perkhidmatan".

Lapan Inisiatif di bawah RTC ini dilaksanakan melalui penglibatan pelbagai kementerian dan agensi yang berkaitan bagi membangunkan kawasan luar bandar.

KKLW menjadi peneraju kepada inisiatif latihan kemahiran dan kios informasi 1Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjadi peneraju kepada pertanian bernilai tinggi, pemprosesan produk agro-makanan, dan pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian.

Kementerian Pengajian Tinggi menjadi peneraju kepada inisiatif kerjasama universiti, Kementerian Kesihatan bagi Perkhidmatan Kesihatan 1Malaysia manakala Kementerian Kewangan menjadi peneraju kepada kemudahan pembiayaan kewangan.

Kesemua maklumat mengenai inisiatif ini lebih mudah diperoleh dengan kewujudan lima kiosk maklumat dan orang ramai boleh mendapatkannya di pusat berkenaan, yang dirancang menjadi pusat maklumat setempat.

Aktiviti bagi pemborongan buah dan sayur-sayuran antara pukul 2 pagi dan 6.30 pagi manakala pemborongan ikan, ayam dan daging antara pukul 6 pagi dan 10 pagi, pemborongan pertengahan antara pukul 6 pagi dan 12 tengah hari manakala runcit dan pelbagai antara pukul 6 pagi hingga 2 petang.

Turut menjadi tumpuan orang ramai ialah Pasar Tani yang beroperasi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, selain aktiviti bermusim yang melibatkan ekspo musim perayaan, ekspo musim buah-buahan, program bersama pihak swasta dan mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA).

Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
Last modified on Tuesday, 24 April 2012 21:53

Premium Joomla Templates

Dalam usaha kami memastikan informasi tepat dan lengkap di laman Malaysia Aktif, tiada 'representation' di tekankan atau 'implied' dirujuk keatas informasi ini
While we make every effort to ensure the accuracy of the information contained in Malaysia Aktif, no representation expressed or implied is made in respect of the said information.

Login