Malaysia Aktif - Bebas dan Diyakini

LoginRegister
Home
A+ R A-
13-09-2011

Tarikan Dan Keistimewaan Kristal Langkawi

Rate this item
(2 votes)

LANGKAWI -- Produk kraftangan kristal sememangnya cukup dikenali sebagai barangan hiasan yang mampu menceriakan suasana rumah atau ruang pejabat berikutan keunikan yang ada pada produk itu.


Walaupun agak mahal berbanding barangan hiasan yang lain tetapi ciri-ciri unik yang ada padanya termasuk keadaannnya yang bersinar menyebabkan ia menjadi pilihan ramai terutama golongan yang berkemampuan.


Bagaimanapun, tidak ramai yang menyedari untuk membuatnya bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak ramai yang mampu dan sanggup melakukannya.


Bagi pengusaha produk kristal, Kamarul Faizy Roslan, 41, untuk menghasilkan produk kristal ia memerlukan kesabaran dan ketelitian kerana kerja pembuatan perlu dilakukan dengan sempurna walaupun terpaksa berhadapan dengan api panas sehingga 1,400 darjah Celcius.


Kamarul Faizy berkata untuk menghasilkan produk kristal yang besar, ia memerlukan teknik meniup kaca bagi membentuk kaca menjadi kristal yang bersinar dan menarik perhatian pembeli.


"Kalau nak produk besar, api kena lebih besar dan terpaksa tiup. Inilah keunikan kristal yang kami buat. Risiko keselamatan lebih tinggi. Kalau produk kecil, api juga kecil dan tak perlu tiup.


"Kaca dan kristal asasnya dihasilkan daripada bahan mentah yang sama iaitu silika. Untuk membuat kristal, silika diproses menjadi bahan yang berkualiti tinggi, lebih lembut dan lebih tahan perubahan suhu. Jadi kristal adalah kaca yang berkualiti tinggi," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kompleks Kraf Langkawi di sini.


ADA YANG DIHASILKAN DALAM MASA DUA JAM


Kamarul Faizy berkata produk kristal yang paling sekejap disiapkan adalah dalam masa dua minit tetapi yang paling lama boleh memakan masa sehingga dua jam.


"Membuat produk kristal berbeza dengan seramik kerana seramik kalau tak boleh siapkan kita boleh tangguh. Produk kristal bila dah start kena habiskan sampai jadi apa yang kita nak buat, kalau tak, apa yang kita buat itu jadi sia-sia.


"Untuk meleburkan bahan mentah bagi membuat kristal kita memerlukan kepanasan 1,400 darjah Celcius dan perlu dilakukan dalam masa 12 jam. Bagi membuat produk akhir kristal, suhu yang diperlukan adalah sehingga 1,100 darjah Celcius," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.


Kamarul Faizy berkata kerana itu pada bulan Ramadan pembuatan kraf kristal dilakukan sebelah malam kerana para pekerja yang berpuasa sudah pasti tidak tahan dengan kepanasan tempat bekerja.


"Para pekerja perlu minum banyak air kerana kepanasan yang begitu tinggi...dan hanya bekerja lapan jam. Jadi bila Ramadan bagi memastikan kami dapat memenuhi permintaan pelanggan, kami terpaksa beroperasi sebelah malam," katanya yang telah terlibat dalam penghasilan kristal sejak 1995.


Katanya apabila produk kristal siap dibentuk ia akan dimasukkan ke dalam ketuhar untuk penurunan suhu selama dua jam sebelum ia menjadi produk yang siap sepenuhnya.


BANTUAN KRAFTANGAN MALAYSIA


Mengenai pengalaman beliau dalam pembuatan kristal, Kamarul Faizy berkata beliau bekerja dengan syarikat Industri Kristal Malaysia (Inkrisma), yang kemudian ditukar namanya kepada Langkawi Crystal, pada 1995 hingga 2000 sebagai pembuat kristal tetapi apabila syarikat itu tidak lagi aktif dalam pembuatan kristal beliau memutuskan untuk bekerja sendiri menghasilkan kristal.


"Selama dua tahun himpun modal... saya dapat kumpul RM30,000. Pada 2002 saya memulakan usaha ini dengan bantuan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kampung Pasir Hitam di sini. Saya mendapat bimbingan Kraftangan dan kadang-kadang dipanggil untuk membuat demonstrasi.


"Waktu mula-mula beroperasi, hanya ada tiga pekerja yang boleh membuat kristal termasuk saya. Pada 2003 saya memindahkan operasi saya ke Kompleks Kraf Langkawi," katanya sambil menambah produk paling murah yang dihasilkan berharga RM5 manakala paling mahal RM8,000.


Kamarul Faizy berkata pada 2004 beliau membuat pinjaman dengan SME Bank sebanyak RM50,000 bagi mengembangkan perniagaann dan kini mempunyai tujuh pekerja mahir yang mampu menghasilkan kristal yang bermutu tinggi menerusi teknik Glass Blowing.


Katanya kesukaran untuk menghasilkan produk kristal selain kekurangan tenaga mahir dalam bidang itu menyebabkan beliau boleh dikatakan tidak ada saingan dalam perusahaan kraftangan kristal.


"Client ramai, persaingan tiada sebab orang lain tak buat. Syarikat yang menjual kristal kebanyakannya mendapatkan produk kristal dari luar sebelum di jual di negara ini," katanya.
 


MASALAH PEKERJA


Kamarul Faizy berkata pasaran bagi produk kristal yang beliau usahakan adalah lebih kepada hotel-hotel terutama tempat abu rokok, pinggan dan mug, selain produk cendera hati bagi VVIP dan beliau lebih memfokuskan kepada pasaran tempatan.


"Pasaran luar negara buat masa ini paling jauh Maldives. Ada juga permintaan daripada syarikat dari Amerika Syarikat tetapi saya tidak mampu memenuhi permintaan untuk luar negara.


"Saya lebih tumpu tempatan. Pertama kerana masalah pekerja... sukar nak latih pekerja mahir dan kedua masalah modal. Di Malaysia ini pun permintaan banyak yang saya tak mampu penuhi. Kemampuan saya sekarang terhad.


"Industri ini perlukan pekerja berkemahiran sedangkan susah nak latih pekerja dan ambil masa yang lama. Susah nak cari pelapis. Antara cabaran kerja ini adalah rumit, minat, berani, sabar dan teliti," katanya.


Katanya dalam usaha cuba meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa, beliau sering mengikuti promosi yang dijalankan oleh Kraftangan Malaysia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri termasuk yang diadakan di pusat membeli-belah Harrods di United Kingdom selain Jerman, Jepun dan Hong Kong.


Selain itu, beliau turut menjual produk kristalnya di pusat jualan di Kompleks Kraf Langkawi dan mendapat sambutan yang baik daripada pelancong asing terutama dari Australia, Eropah dan Timur Tengah kerana harganya yang lebih murah berbanding produk kristal di banyak negara lain.


Sementara itu, Pengarah Kompleks Kraf Langkawi Norizan Lob berkata produk kristal sebenarnya agak mahal tetapi ia berkualiti tinggi dan kerana itu ia lebih mendapat perhatian pengunjung dari luar negara.


"Bahan yang digunakan adalah bahan asli. Kamarul Faizy ini adalah antara usahawan kraftangan yang kita hasilkan menerusi Skim Inkubator. Kraftangan turut membantu dia untuk mengembangkan pasaran ke luar negeri menerusi promosi yang dijalankan Kraftangan," katanya.


Katanya di Malaysia hanya ada dua tempat yang mengasilkan kristal iaitu di Langkawi dan Rembau, Negeri Sembilan tetapi pengeluaran yang ada di Rembau adalah bagi produk kecil yang tidak memerlukan teknik "glass blowing".

Oleh Kamarul Ariffin Md Yassin / BERNAMA

Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
Last modified on Tuesday, 13 September 2011 14:41

'Segala analisis dan sorotan yang disiar dalam Malaysiaaktif adalah pendapat penulis'

We have 19 guests online

Premium Joomla Templates

Dalam usaha kami memastikan informasi tepat dan lengkap di laman Malaysia Aktif, tiada 'representation' di tekankan atau 'implied' dirujuk keatas informasi ini
While we make every effort to ensure the accuracy of the information contained in Malaysia Aktif, no representation expressed or implied is made in respect of the said information.

Login