KUALA LUMPUR (malaysiaaktif) . Parti Keadilan Rakyat terpaksa mengambil pendekatan drastik dengan mewajibkan kesemua bakal calon dan pemimpin parti tersebut menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter dalam perjumpaan (retreat) yang diadakan selama dua hari bermula hari semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang dipetik dalam laman portal the MalaysiaInsider menegaskan bahawa usaha itu bertujuan untuk mendekatkan pemimpin-pemimpin PKR melalui interaksi dengan pengguna media sosial yang semakin meningkat terutamanya di kalangan generasi muda.
Langkah drastik itu dilihat sebagai usaha terdesak PKR dalam menawan hati generasi muda ketika golongan itu kini semakin dekat dan condong kepada UMNO seperti mana yang dijelaskan oleh ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Jika dalam pilihan raya sebelum ini PKR mendakwa berjaya dalam perang siber, pilihan raya umum akan datang nyata agak mencabar bagi PKR kerana majoriti golongan muda hari ini mula menunjukkan sokongan kepada kerajaan malah populariti kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada kaca mata golongan muda juga jauh meningkat berbanding pupulariti pemimpin De Facto PKR serta ketua pembangkang , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin merudum.
Golongan muda hari ini juga nyata lebih bijak dan tidak lagi terikut-ikut dengan sentimen sebaliknya bersikap lebih terbuka tentang isu-isu yang dibincangkan di media siber dan tidak menerima sesuatu perkara secara membabi buta seperti mana sebelumnya. Mereka kini lebih bijak untuk menentukan yang mana benar dan sebaliknya.
Kemenangan besar golongan pro-Aspirasi dalam pilihan raya kampus baru-baru ini juga memberi satu indikasi jelas tentang penerimaan anak muda terhadap kerajaan. Kemenangan itu juga memberikan satu tamparan hebat kepada kumpulan pembangkang kerana selama ini mereka mendakwa menjadi juara kepada golongan tersebut.


