IPD Labuan Sita Tiga Kenderaan Ubah Suai Ekzos

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/IPD Labuan

LABUAN, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menyita tiga buah kenderaan kerana mengubahsuai ekzos yang menyebabkan bunyi bising.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Supt. Ahmad Jawila, ketiga-tiga kenderaan itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Labuan.

Supt. Ahmad Jawila. Supt. Ahmad Jawila.



“Ketiga-tiga buah kenderaan tersebut ditahan di bawah Seksyen 64(1) kerana disyaki melanggar akta ini atau melanggar terma lesen bagi kenderaan motor.

“Bagi mengelakkan kesalahan sama berulang ketiga–tiga kenderaan bersama pemandu lelaki yang berumur antara 22 hingga 42 tahun dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

“Kes ini dirujuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan untuk ujian dan larangan penggunaan kenderaan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang disita. Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan yang disita.



Jelasnya, ketiga-tiga pemandu telah dikeluarkan saman atas kesalahan ubahsuai ekzos di bawah Kaedah 103 LN170/59 dan pemandu sebuah motokar terbabit turut dikeluarkan saman atas kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati tidak memiliki lesen memandu.

“Bagi hukuman ubah suai ekzos jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan manakala bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.” jelasnya lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak mengubahsuai kenderaan tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi mengelak dikenakan tindakan saman.

-RI