[KEMAS KINI] Langkawi Siap Sedia Terima Kedatangan Pelancong

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melaksanakan program pembersihan awam sempena pembukaan semula pelancongan di pulau itu sebagai persediaan menerima kehadiran pelancong apabila ianya bakal dibuka kembali kepada pelancong tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata Langkawi bersedia menerima kedatangan pelancong apabila pulau peranginan ini dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan mulai 16 September ini.

“Objektif program sebenarnya adalah satu simbolik kepada persediaan Langkawi menerima kedatangan pelancong dan ia juga membuktikan penduduk di Pulau Langkawi bersatu hati  menjaga kebersihan di tempat awam supaya pelancong yang berkunjung menerima produk pelancongan yang bersih dan juga bebas daripada pencemaran.

Kerja-kerja pembersihan di sepanjang Pantai Cenang lokasi tumpuan pelancong. Kerja-kerja pembersihan di sepanjang Pantai Cenang lokasi tumpuan pelancong.



"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Persekutuan yang memilih Langkawi sebagai projek perintis pelancongan dan ini adalah satu penghormatan serta amanah besar yang perlu dipikul supaya memastikan Langkawi selamat kepada pengunjung, di mana kejayaan Langkawi akan dijadikan kayu ukur untuk pembukaan destinasi  peranginan dan percutian yang lain,” ujarnya yang ditemui dalam program Cuci-Cuci Langkawi di sekitar Pantai Chenang, di sini kelmarin.

Salah seorang peserta dari anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada pangkalan TLDM Langkawi Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA3) Muhamad Haniff Izwan Mat Saad, 29, berkata dia berasa bangga kerana dapat melibatkan diri dalam program yang dianjurkan LADA kelmarin dan berasa gembira kerana dapat menolong untuk mencantikkan Langkawi.

“Saya berharap para pelancong yang datang ke Langkawi akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya kita semua selamat daripada COVID-19,” ujarnya.

Seorang peniaga di sekitar Pantai Chenang Nor Shaza Abdul Ghafar, 28, berkata beliau merasa amat bersyukur dengan keputusan kerajaan untuk merancakkan semula pulau ini dan beliau juga berharap agar kehadiran para pelancong nanti dapat meningkatkan pendapatan para peniaga,” katanya.

Seramai 120 orang sukarelawan telah terlibat dalam program ini dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Anggota BOMBA turut serta dalam program Cuci-cuci Langkawi. Anggota BOMBA turut serta dalam program Cuci-cuci Langkawi.



Antara agensi dan jabatan terlibat, Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awam (SWCorp), Jabatan Penerangan Daerah Langkawi, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, BOMBA Daerah Langkawi, PDRM Daerah Langkawi, Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA3) dan NGO tempatan seperti Malaysia Assocation of Hotel (MAH), Langkawi Business Association (LBA) serta Trash Hero.

 

~RJ~