Siapa Cakap ‘Sumandak’ Sabah Pandai Masak Nasi Saja!

Laporan/foto: Eviannie Kin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Sep (Malaysiaaktif) – ‘Sumandak Sabah mana kau mau cari, semua lawa-lawa pandai masak nasi’, itu lirik lagu Sumandak Sabah nyanyian Marsha Milan Londoh dan Velvet Aduk yang dilancarkan pada tahun 2018, masih menjadi siulan ramai hingga kini.

Apa yang pasti, sumandak Sabah yang bermaksud gadis Sabah dalam bahasa Dusun bukan sekadar pandai masak nasi sahaja tetapi bakat dan kemahiran mereka adalah lebih daripada itu.

Bagi Haritah Kinsu, 33, yang berasal dari Ranau, dia bukan sahaja cekap memasak dan menjahit tetapi juga mahir menjalankan perniagaan dalam talian.

“Saya belajar berniaga sejak kecil lagi daripada ibu yang membuka kedai runcit di kampung dan beliau menjadi sumber inspirasi saya untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Manik-manik yang dibeli daripada surirumah di Kudat. Manik-manik yang dibeli daripada surirumah di Kudat.



“Semasa di universiti, saya berniaga kecil-kecilan dengan menjual kanta lekap secara atas talian dan selepas tamat pengajian, saya bekerja sebagai kerani di syarikat swasta dan sambil-sambil itu menjual masakan tradisi KadazanDusun secara dalam talian,” katanya yang berkelulusan Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Haritah, minatnya yang mendalam terhadap tradisi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) menyebabkan beliau mahu mengetengahkan motif pakaian dan aksesori tradisi kaum berkenaan menerusi hasil tangannya.

“Saya percaya tidak semua orang mampu untuk memiliki pakaian dan aksesori tradisional kerana harganya yang agak mahal, jadi timbul idea saya untuk menjahit dan menjual produk tersebut dengan harga mampu milik.

'Susuga' atau cekak rambut yang bermotif 'tradisi' Sabah. 'Susuga' atau cekak rambut yang bermotif 'tradisi' Sabah.



“Maka terhasil aksesori rambut seperti ‘susuga’ (cekak rambut), getah rambut dan pakaian yang berinspirasi motif tradisi KDMR,” ujarnya.

Menurut Haritah, cabaran utama dalam menjalankan perniagaan tradisi adalah mencari idea dan kelainan terhadap produknya.

“Saya mengambil masa mengkaji dan belajar tentang kaum lain di negeri ini agar mudah untuk saya mencari idea motif sesebuah kaum dapat ditonjolkan menerusi produk saya.

“Selain itu, cabaran dari segi mencari bahan-bahan dengan harga yang berpatutan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Haritah besyukur walaupun perniagaannya agak perlahan semasa pandemik ini, permintaan terhadap hasil kraf tangannya tetap ada.

“Mungkin kerana saya menjual secara dalam talian menerusi media sosial, mudah para pelanggan membuat tempahan dari seluruh Sabah mahupun dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Saya berharap usaha kecil ini dapat membantu mengekalkan tradisi, adat dan budaya suku kaum di Sabah dan akan terus berkekalan pada masa akan datang,” katanya.

-RI