Santuni Pasukan Penyelamat, Madrasah Tahfiz Sempena Hari Malaysia

Laporan/foto: Mazlin basir/Muhamad Hafiz Ariffin (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Bersempena sambutan Hari Malaysia, Pejabat Penerangan Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Khas Dun (JPKD) Penggaram mengambil inisiatif menyantuni pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Bomba Sukarela dan Pusat Tahfiz di daerah ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dun (JPKD) Penggaram Zaidi Japar, penganjuran program seumpama ini adalah sebagai tanda penghargaan dan bagi merapatkan lagi ukhuwah dengan jabatan, agensi dan pusat-pusat tahfiz yang terdapat di sini.

Pengerusi JPKD DUN Penggaram menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada pusat madrasah tahfiz. Pengerusi JPKD DUN Penggaram menyampaikan sumbangan dan bakul makanan kepada Pusat Tahfiz.



"Sebanyak 20 bakul makanan telah berjaya diagihkan di beberapa lokasi seperti di Balai Bomba Jalan Timah Sari Batu Pahat, Madrasah Tahfiz Al-Quran Batu Pahat, Madrasah Tahfiz Al Quran Jawahir Al-Ulum Senggarang, Madrasah Tahfiz Al Quran Al-Bukhari, Balai Bomba Rengit, Bomba Sukarela Parit Tengah Rengit dan Senggarang.

"Selain sumbangan bakul makanan, pusat-pusat tahfiz juga turut menerima sumbangan dalam bentuk wang ringgit," katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan dan Penyerahan Jalur Gemilang di Pusat Madrasah Tahfiz Al-Quran, di sini semalam.

Edaran Jalur Gemilang, risalah jabatan dan poster kepada jabatan dan agensi di daerah ini. Edaran Jalur Gemilang, risalah jabatan dan poster kepada jabatan dan agensi di daerah ini.



Beliau berharap dengan penyaluran sumbangan ini mampu membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini.

"Saya juga ingin menyeru kepada masyarakat di daerah ini agar menghayati semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain," ujarnya.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dun (JPKD) Penggaram Zaidi Japar dan Pengerusi Biro Kebajikan Muhibbah JPKD Penggaram Hamidi Mad Tap.

-NI-