Tempoh Proses Permohonan MTP 14 Hari

PUTRAJAYA, 14 Sep (Malaysiaaktif) - Tempoh masa proses permohonan MyTravelPass (MTP) terpaksa dinaikkan dari tujuh hari kepada 14 hari ekoran jumlah permohonan yang bertambah, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata ia adalah rentetan daripada kesan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi yang mengakibatkan jumlah pelancong perniagaan meningkat.

MTP diperkenalkan Jabatan Imigresen pada 7 Oktober 2020 yang permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara Malaysia dan warga asing perlu dibuat melalui sistem tersebut.

Mengulas laporan yang mendakwa MTP menyebabkan kelewatan dalam urusan perjalanan keluar dan masuk negara, Khairul Dzaimee berkata penguatkuasaan MTP adalah bagi mengawal pergerakan sebagai langkah pencegahan penularan virus COVID-19.

“Penguatkuasaan MTP terbukti apabila setakat Ogos tahun ini, kes import positif COVID-19 yang direkodkan adalah kurang daripada 0.4 peratus sahaja daripada jumlah kes keseluruhan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khairul Dzaimee, sejak diperkenalkan hingga Jumaat lepas (10 September), Jabatan Imigresen telah menerima 356,510 permohonan menerusi MTP dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,697 permohonan dibatalkan, 208,509 lulus manakala 127,465 ditolak.

“Jumlah yang diproses ialah 13,000 permohonan yang diuruskan oleh tiga taskforce di bawah Jabatan Imigresen. Jumlah ini tidak pernah berkurangan malahan meningkat setiap hari,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan semua pengumuman dan peraturan terkini kerajaan serta membuat semakan tentang prosedur berkaitan dan memahami semua syarat permohonan sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

“Penilaian teliti perlu dibuat bagi mengelakkan penularan kes import positif COVID-19 merebak masuk ke negara ini," katanya.

Beliau berkata Jabatan Imigresen akan terus menambah baik sistem MTP bagi memudahkan warga tempatan dan warga asing membuat permohonan perjalanan keluar dan masuk negara.

-- BERNAMA