Agrobank Lancar Program Sukuk Wakalah Berjumlah RM1 Bilion

PUTRAJAYA, 14 Sep (Malaysiaaktif) - Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) melancarkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion yang berasaskan Prinsip Islam Wakalah Bi AlIstithmar.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Buang berkata bagi bahagian pertama, Agrobank, sebuah Institutsi Kewangan Pembangunan (IKP) yang memfokuskan pengukuhan sektor pertanian di Malaysia, berhasrat untuk menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai RM500 juta.

“Hasil daripada penerbitan Sukuk ini akan digunakan untuk pengurusan modal kerja, pelaburan umum dan/atau untuk membiayai kembali pembiayaan Agrobank yang patuh Syariah bagi mendorong pertumbuhan bank pada era pasca pandemik.

“Fokus kami adalah untuk mewujudkan pendanaan yang stabil dengan mendapatkan kos pembiayaan jangka sederhana dan jangka panjang yang lebih rendah.

“Kami berharap tawaran ini disambut baik oleh pelabur dari pelbagai latar belakang perakaunan termasuk agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat pengurusan aset serta akaun korporat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mustapha percaya bahawa instrumen inovatif ini akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab kewangan Islam global sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran modal Islam antarabangsa.

Sementara itu, Malaysian Rating Corp Bhd (MARC) telah memberikan penarafan AAA institusi kewangan (FI) kepada Agrobank.

Pada masa sama, agensi penarafan juga telah memberikan penarafan awal AAAIS kepada bank bagi Program Nota Jangka Sederhana Islam (Program IMTN) bernilai RM1.0 bilion serta prospek penarafan yang stabil.

Agensi penarafan RAM Sustainability Sdn Bhd telah memberikan penarafan Manfaat Alam Sekitar (EB) kepada Program Sukuk ini.

Menurut bank itu, penarafan yang baik bagi Program Sukuk ini menunjukkan kestabilan pengurusan serta kepentingan operasi strategik perniagaan Agrobank kepada kerajaan Malaysia sebagai sebuah institusi perbankan yang berperanan menyokong pembangunan negara.

Bagi bahagian pertama penerbitan Sukuk, katanya Agrobank memilih untuk menerbitkan sukuk senior normal dan turut merancang untuk menerbitkan Sukuk Kelestarian pada masa depan.

Maybank Investment Bhd adalah penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal dan pengurus utama tunggal bagi program Sukuk ini.

-- BERNAMA