[KEMAS KINI] Gelorakan Hari Malaysia 2021 - Wan Sukairi

Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 14 Sep (Malaysiaaktif) - Usaha menggelorakan Sambutan Hari Malaysia 2021 yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi diteruskan oleh Pejabat Penerangan Daerah Kuala Terengganu dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dengan menjayakan Program Sepakat Komuniti: Kibar Jalur Gemilang, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah, telah menyempurnakan perasmian program tersebut secara pandu lalu di stesen minyak di Kampung Tok Jamal, Kuala Terengganu dan mendapat sambutan yang baik serta reaksi positif daripada penduduk setempat.

Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, berkata program sebegini dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan penduduk di sini untuk sama-sama meraikan Hari Malaysia pada 16 September ini.

ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah menyempurnakan Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Malaysia secara pandu lalu di stesen minyak di Kampung Tok Jamal, di sini, semalam. Wan Sukairi (kanan) menyempurnakan Program Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Malaysia, di sini.



"Saya berbesar hati dapat bergandingan dengan Pejabat Penerangan Kuala Terengganu mengedarkan Jalur Gemilang, risalah dasar-dasar kerajaan dan sedikit sumbangan makanan tengah hari kepada penduduk sekitar.

"Tahniah buat Jabatan Penerangan Daerah Kuala Terengganu atas penganjuran program yang begitu baik ini dalam mendekati komuniti setempat.

"Saya yakin dan pasti program sebegini dapat mengajak orang ramai untuk turut sama-sama meraikan sambutan dan menyemai rasa cinta kepada negara dan memperingati perjuangan pejuang terdahulu dalam membebaskan negara tercinta ini dari penjajah," katanya yang ditemui sempena program di stesen minyak Kampung Tok Jamal, di sini semalam.

Wan Sukairi melekatkan Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan. Wan Sukairi (kiri) melekatkan Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan.



Dalam pada itu, Wan Sukairi turut mengajak warga Terengganu khususnya untuk bangkit selepas pasca pandemik COVID-19 untuk sama-sama membina, membangunkan negara dan memperkukuhkan perpaduan negara dengan merayakan 'Keluarga Malaysia' yang dibina.