Program Peningkatan Pendapatan Dasar Kerajaan Tingkat Pendapatan Isi Rumah B40

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Sep (Malaysiaaktif) - Kerajaan akan meneruskan dasar dan strategi untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah miskin dalam kalangan B40 bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.

“… (selain itu), menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan serta meningkatkan perlindungan sosial," katanya menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan sebelum ini menyediakan bantuan jangka pendek kepada rakyat di bawah lapan pakej ransangan ekonomi antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 1 yang keseluruhannya berjumlah RM24.9 bilion dan telah membantu 10.9 juta individu dan isi rumah.

Turut disediakan, moratorium bayaran balik pinjaman kepada lebih tujuh juta peminjam, diskaun bil elektrik sebanyak RM3.14 bilion yang memanfaatkan 8.8 juta individu dan isi rumah, sejumlah RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan serta mengekal dan mewujudkan pekerjaan termasuk program Subsidi Upah yang membantu kira-kira 300,000 majikan dan mengekalkan lebih 2.7 juta pekerjaan.

-- BERNAMA