‘PKRC Berselawat’ Solidariti Sambut Hari Malaysia

Laporan/foto: Luqman Hakim Salamuddin (Petaling)/Farhan Abdullah (Putrajaya)

SERDANG, 14 Sep (Malaysiaaktif) - Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 menganjurkan program PKRC Berselawat sebagai tanda solidariti Sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hashim, berkata program ini membuktikan semangat pasukan barisan hadapan di PKRC ini dalam menyambut Hari Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Aminuddin (tengah) ketika sesi bergambar di hadapan Kanvas Solidariti Petugas Barisan Hadapan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Aminuddin (tengah) ketika sesi bergambar di hadapan Kanvas Solidariti Petugas Barisan Hadapan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.



“Antara pengisian program hari ini, kita bersama-sama berselawat untuk negara agar rakyat terus dilindungi daripada bahaya wabak COVID-19.

“Petugas-petugas di sini juga ingin menunjukkan solidariti selain menjadi petugas barisan hadapan terbaik mereka adalah anak bangsa Malaysia yang bangga dengan negara.

“Mereka sanggup berkorban mencurahkan bakti bagi membantu dalam memerangi wabak pandemik yang sedang melanda tanah air,” katanya.

Aminuddin memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Aminuddin memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.



Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato' Indera Dr. Shaari Ngadiman, Pengarah PKRC Dr Shahabuddin Ibrahim dan ketua-ketua agensi lain.

Mengulas lanjut, Dr Aminudin berkata, petugas-petugas turut menurunkan tandatangan di Kanvas Solidariti Pasukan Barisan Hadapan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0

“Terdapat lebih 1,600 petugas yang bertugas di sini mengambil bahagian dengan menurunkan tandatangan sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai solidariti bagi mengenang jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di PKRC ini.

“PKRC Bersepadu MAEPS ini juga mewakili PKRC di seluruh negara apabila banyak keputusan penting dan penyelarasan yang dilakukan bersama-sama agensi lain,” jelasnya.

-RI