Genggam Semangat Keluarga Malaysia

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 15 Sep (Malaysiaaktif) - Perkhidmatan awam harus menggenggam semangat ‘Keluarga Malaysia’ sebagai konsep penting dalam mengatur strategi memulihkan semula ekonomi dan menyusun semula negara dalam era pasca pandemik COVID-19 dan fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengarahkan setiap anggota Jemaah Menteri untuk memastikan enam teras utama petunjuk prestasi utama (KPI) diberi perhatian dan kesemua elemen itu akan dinilai dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan.

KPI tersebut adalah menstruktur semula ekonomi; menjamin keselamatan dan ketenteraman negara; meningkatkan kesejahteraan sosial; mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh; memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam, di atas bahu kita semualah segala harapan dan jangkaan rakyat diletakkan bagi memastikan pencapaian KPI ini boleh dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Webinar PPTD-INTAN-UM Peranan Perkhidmatan Awam dalam Pembinaan Negara secara maya semalam.

Dalam pada itu, Mohd Zuki mengakui perkhidmatan awam yang dipacu pada hari ini sangat berbeza situasi dan keadaannya berbanding dengan apa yang dilalui oleh generasi terdahulu.

Malah, katanya tiada siapa menyangka pandemik COVID-19 merubah hampir keseluruhan cara berfikir, bekerja dan menguruskan negara.

“Malah, tiada siapa pun di antara kita yang berpengalaman dalam berdepan situasi ekonomi, sosial dan politik yang begitu dinamik seperti hari ini.

“Alhamdulillah, perkhidmatan awam yang kita pacu bersama-sama hari ini berjaya melalui segala cabaran yang melanda dengan baik,” katanya.

Menurutnya penjawat awam perlu berdedikasi dan memberi tumpuan berterusan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat susulan norma baharu tugasan seperti Bekerja Dari Rumah dan hanya hadir ke pejabat mengikut giliran atau keperluan kerja.

Justeru, beliau meminta penjawat awam supaya peka tentang keperluan semasa dan kehendak pelbagai pemegang taruh dengan pengaplikasian teknologi digital terkini agar segala dasar dan inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

-- BERNAMA