Cinta Rentas Budaya Bukti Keutuhan Keluarga Malaysia

Laporan/foto: Izawati Eni (Sarawak)

SADONG JAYA, 4 Okt (Malaysiaaktif) - Cinta rentas budaya melalui perkahwinan campur bagi pasangan berbangsa Melayu dan Cina yang menetap di Kampung Jemukan membuktikan bahawa keutuhan perpaduan yang menjadi falsafah Keluarga Malaysia bukan lagi perkara asing dalam masyarakat Sarawak.

Pertemuan Zurlima Jali, 40, dan Mohd Sufiyan Jong [email protected] Chi Fatt, 41, sebagai rakan sekerja di sebuah restoran makanan laut yang terletak di Kampung Buntal, Kuching telah membawa pasangan ini ke jinjang pelamin walaupun sebenarnya kedua-dua mereka sebenarnya sebelum itu pernah sama-sama bersekolah pada tahun 1994 hingga 1995.

Menurut Zurlima, pada awalnya keluarga suami agak terkejut dengan keputusan Sufiyan untuk memeluk agama Islam namun mereka akhirnya terbuka untuk menerima dan turut meraikan perkahwinan mereka mengikut adat Cina yang dintegrasikan mengikut agama Islam yang kebetulan pada masa itu berada pada bulan puasa, maka majlis adat dilakukan pada malam hari.

Anak Zurlima (berdiri di belakang 4 dari kiri) bersama rakan di SJK Chung Hua. Zurlima dan Sufiyan di kedai runcit mereka.



“Kami bersama anak-anak akan meraikan perayaan-perayaan kaum Melayu dan Cina seperti Hari Raya dan Tahun Baharu Cina malah masakan melayu seperti lemang, ketupat dan rendang menjadi hidangan kegemaran keluarga mentua.

"Komunikasi di rumah kami adalah Bahasa Melayu, namun apabila berada di rumah mentua kami akan campur bahasa Melayu, Mandarin, dan Khek (Hakka) untuk berinteraksi sesama mereka.

“Anak-anak lebih cenderung dengan budaya Melayu dan Islam, namun bersekolah aliran Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua dan banyak bergaul dengan rakan-rakan sekolah yang berbangsa Cina, malah mudah menyesuaikan diri dengan situasi, contohnya di rumah makan menggunakan tangan, tetapi di sekolah menggunakan penyepit," ujar Zurlima yang ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.

Anak Zurlima (berdiri di belakang 4 dari kiri) bersama rakan di SJK Chung Hua. Anak Zurlima (berdiri di belakang 4 dari kiri) bersama rakan di SJK Chung Hua.



Sufiyan yang bekerja sendiri sebagai peniaga dan pemilik kedai runcit mula berminat memeluk Islam sebelum berkahwin dan tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kampung Melayu serta cara hidup mengikut adat Islam apatah lagi Zurlima sendiri bertugas sebagai Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain yang boleh memberi tunjuk ajar.

Menurut Zurlima, penerapan nilai-nilai murni dalam institusi keluarga terutamanya dalam perkahwinan campur merupakan bukti bahawa perpaduan rakyat yang berbilang kaum sebagai sebuah Keluarga Malaysia bukan sesuatu yang asing malah kerajaan hari ini telah menggunakan Keluarga Malaysia sebagai falsafah dalam pengurusan negara.

"Kami amat berterima kasih kepada pemimpin negara kerana telah melihat dan menyelidiki pelbagai sudut selari dengan konsep Keluarga Malaysia, tiada yang ditinggalkan dan semua masyarakat tidak kira bangsa dan agama dibantu," tambah Zurlima.

-ZS-