Sahabat Penerangan Keluarga Malaysia Bakal Diwujudkan di Setiap Kawasan Parlimen

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Padang Besar) 

PADANG BESAR, 11 Okt (Malaysiakatif) - Bagi mendidik dan memantapkan lagi jati diri dalam kalangan para belia di negeri ini, kerajaan akan melancarkan Sahabat Penerangan Keluarga Malaysia di setiap parlimen dalam masa terdekat.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin, kumpulan Sahabat Penerangan Keluarga Malaysia itu akan digerakkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) yang akan memainkan peranan penting bersama-sama wakil rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengalakkan golongan belia untuk membangunkan negara bersama-sama dengan para pemimpin setempat.

"Pemimpin setempat seharusnya bertanggungjawab dengan menggunakan pelbagai medium untuk membangunkan golongan anak-anak muda di kawasan masing-masing.

"Mereka ini akan bekerjasama dengan para pemimpin setempat dan jabatan kerajaan khususnya JaPen dalam membantu negara terutamanya dalam bidang ekonomi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Sembang Santai Diskopi Bersama Ahli Parlimen Padang Besar di Pusat Khidmat DUN Mata Ayer, di sini baru-baru ini.

Timbalan Menteri KKMM (kiri) merasmikan Pra pelancaran Aplikasi MyIOW Japen. Timbalan Menteri KKMM (kiri) merasmikan Pra pelancaran Aplikasi MyIOW Japen.



Tambah beliau, program Sahabat Penerangan Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan dalam masa terdekat diharap dapat menarik lebih penyertaan dalam kalangan anak-anak muda di negeri ini.

"Kita akan menyalurkan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta akan memberi bantuan dan cara untuk membantu sosioekonomi mereka.

"Ini selaras dengan hasrat semangat Keluarga Malaysia seperti yang dikehendaki oleh Perdana Menteri," ujarnya.

Seramai 40 orang anak-anak muda dari kawasan DUN Mata Ayer hadir untuk mendengar penerangan dasar-dasar kerajaan dan berinteraksi bersama Timbalan Menteri KKMM.

Pada program tersebut, beliau turut melancarkan Prapelancaran Aplikasi MyIOW yang dibangunkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Perlis.

Turut hadir, ADUN Mata Ayer Siti Berenee Yahaya, ADUN Santan Azizan Sulaiman dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perlis Azrul Hasan.

-NI-