Sabah Perkenal Dua Acara Baharu Sempena Sambutan Maulidur Rasul

Laporan/foto: Bustan Made Aming/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Dua acara baharu bakal diperkenal sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah tahun ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Arif, berkata dua acara tersebut ialah Pertandingan Puisi Sirah Berkumpulan dan Pertandingan Mencipta Video Sketsa Sirah.

Arifin (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Program Sambutan Maulidur Rasul tahun 1443H/2021M. Arifin (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Program Sambutan Maulidur Rasul tahun 1443H/2021M.



"Pada tahun ini, selain mengekal dan menambah baik acara yang sedia ada, kita akan memperkenalkan dua acara baharu yang dipertandingkan iaitu Pertandingan Puisi Sirah Berkumpulan dan Pertandingan Video Sketsa Sirah Nabi.

"Acara ini diperkenal bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang deklamasi puisi serta memberi ruang dan pendedahan kepada para peserta dalam bidang pengucapan sastera di samping menarik minat kecintaan terhadap sastera Islam dan sirah Nabi.

"Kita juga akan menghidupkan semula pertandingan yang sedia ada antaranya festival nasyid moden dan tradisi selain pertandingan marhaban dan berzanji serta pertandingan sepanduk yang akan dinilai melalui tulisan khat selepas perarakan tidak dilaksanakan ekoran pandemik COVID-19," ujarnya kepada media pada Majlis Pelancaran Program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Wisma MUIS, di sini semalam.

POSTER....Arifin (tengah) bersama Saifulzaman (tiga dari kiri) dan Sapdin (tiga dari kanan) menunjukkan poster sebagai bahan promosi Program Sambutan Maulidur Rasul tahun 1443H/2021M. POSTER....Arifin (tengah) menunjukkan poster sebagai bahan promosi Program Sambutan Maulidur Rasul tahun 1443H/2021M.



Dalam pada itu Arifin turut menjelaskan, penyertaan acara sambutan pada tahun ini lebih tertumpu kepada generasi muda bagi memberi peluang kepada mereka menghayati seni budaya Islam sekaligus menjadi penyambung kepada syiar Islam.

-RI