[KEMAS KINI] Pulau Langkawi Bakal Jana Pendapatan Melalui Kempen Langkawi Great Sale

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin/Mohd Azrin Mubin Halim (Langkawi)

LANGKAWI, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Kempen Langkawi Great Sale bawah Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi 2021–2022 (T-REC) bakal menjengah kembali bagi mengembalikan keupayaan pulau tersebut dalam membaik pulih kesan ekonomi.

Menteri Pelancongan , Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata Pelancaran Langkawi Great Sale ini juga sudah tentunya usaha kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan keperluan kesejahteraan kesihatan sosial Keluarga Malaysia yang turut terkesan sejak dua tahun ini dapat dinikmati sekali lagi.

“Sebagai langkah kehadapan, MOTAC kini sedang giat mempersiapkan, merangka dan meneroka segala peluang untuk pembukaan gelembung pelancongan antarabangsa membabitkan destinasi atau negara luar,” katanya ketika melancarkan kempen tersebut di SkyCab Langkawi, di sini semalam.

Ucapan Perasmian YAB Menteri Besar Kedah. Sanusi ketika menyampaikan ucapan sempena program.



Dalam pada itu, Menteri Besar Sanusi Md Nor, berkata Langkawi merupakan pulau yang telah dipilih sebagai destinasi pelancongan pertama melalui program perintis gelembung pelancongan dan ianya telah dan sedang giat dilaksanakan hasil kolaborasi di antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan MOTAC.

“Program perintis gelembung pelancongan ini telah memberi sinar baharu kepada industri pelancongan di pulau ini dan sehingga hari ini sejumlah 73,571 pelancong telah berkunjung ke Langkawi.

"Langkawi disasarkan akan menerima tidak kurang daripada 400,000 orang pelancong mulai 16 September hingga 31 Disember 2021 dan kerajaan negeri yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan perkembangan positif industri pelancongan Langkawi dan ingin menyeru supaya penggiat industri pelancongan di Langkawi memberi sokongan kepada LADA dalam merealisasikan kempen ini kerana tanpa sokongan dan keterlibatan semua usaha ini akan menjadi sia-sia,” ujarnya.

Gimik perasmian Langkawi Great Sale 2021, semalam. Gimik perasmian Langkawi Great Sale 2021, semalam.



Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata LADA berpandangan inisiatif menguasai perlu diperbanyakkan supaya dapat memberi manfaat yang menyeluruh kepada pelancong tanpa meninggalkan komuniti Langkawi kebelakang bagi memastikan industri pelancongan Langkawi kekal berdaya saing serta kompetetif.

“Kejayaan gelembung pelancongan Langkawi menjadi penentu dan kayu ukur bagi kejayaan gelembung pelancongan Malaysia secara keseluruhannya.

"Kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama pemain industri Langkawi dan Tourism Malaysia ini melibatkan premis-premis perniagaan daripada tiga kategori iaitu kedai bebas cukai serta agensi dan produk pelancongan," ujarnya.

~RJ~