Nelayan Terjejas COVID -19 Terima Pelbagai Bantuan

Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)/Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir

KUALA NERUS, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bantuan kepada golongan nelayan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang terjejas akibat COVID-19.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir Mohd Fadhil Wahab, berkata program bantuan kepada para nelayan yang sedia ada ini bagi adalah bagi memastikan kelangsungan pendapatan dan kebajikan para nelayan terbela.

"Terima kasih diuacapkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim atas sumbangan ini yang memanfaatkan seramai 111 nelayan dari dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

“Antara bantuan yang diberikan adalah seperti alatan khusus mencari ikan, pukat hanyut, kawat bubu dan kotak multi-fungsi dan kesemu pemberian bantuan ini diharapkan dapat membantu nelayan untuk memastikan mereka dapat meningkatkan potensi hasil penangkapan ikan seharian,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan di Pusat Inovasi, Demonstrasi dan Transformasi Perikanan (FIDTEC) Seberang Takir, di sini baru-baru ini.

Penerima bantuan, Mohammad Zahid Abu Bakar, 50, berkata beliau yang bekerja sebagai nelayan yang berpengkalan di Tanjung, Kuala Terengganu berasa gembira dan lega apabila menerima bantuan berupa alatan khusus mencari ikan.

“Semua sedia maklum, keadaan ekonomi nelayan tidak semeriah dahulu sebelum pandemik melanda negara.

"Dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kami para nelayan untuk kegunaan harian menangkap ikan,” katanya ketika ditemu bual selepas menerima bantuan berkenaan.

Mohammad Zahid turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri dan persekutuan yang dilihat begitu prihatin kepada para nelayan kerana mereka bukan sahaja menerima bantuan berbentuk peralatan tetapi pelbagai lagi bantuan-bantuan lain.

Bukan itu sahaja, bagi Hafiz Hashim, 48, berkata dengan bantuan yang disalurkan berkenaan adalah bukti kecaknaan kerajaan dalam usaha membantu meringankan bebanan kehidupan rakyat berpendapatan rendah sepertinya.

Hafiz Hashim, 48 ketika menerima bantuan. Hafiz Hashim, 48 ketika menerima bantuan.



“Sebagai seorang nelayan yang mencari sumber daripada laut, saya tidak dapat lari dari berdepan dengan kesukaran hidup ketika musim sukar ini, dengan pendapatan yang tidak seberapa hanya cukup untuk keperluan harian sahaja," katanya.

-ii-