Kali Ketiga Tamat Latihan Kebiasaan Norma Baharu

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Tentera Darat Malaysia

PORT DICKSON, 12 Okt (Malaysiaaktif) – Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 193/21 dilaksanakan secara pendekatan norma baharu sejajar mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) tetap melaksanakan perbarisan tamat latihan ini kerana acara ini adalah detik yang menandakan bermulanya kerjaya perajurit muda ini sebagai seorang tentera meskipun ini adalah siri ketiga penganjuran perbarisan tamat latihan secara norma baharu.

“Walaupun negara kita masih lagi berhadapan dengan penularan wabak COVID-19, TDM tetap akan melaksanakan latihan khususnya latihan asas ketenteraan sebagaimana yang dilaksanakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dengan pematuhan kepada SOP sedia ada sebagai keutamaan.

“Perajurit muda yang menjalani latihan di Pusasda dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan asas ketenteraan dan mereka ini memperoleh kemahiran yang diperlukan sebagai seorang tentera darat yang terlatih,” katanya ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 193/21 di pusat latihan tersebut, di sini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain ketika berucap. Zamrose ketika berucap merasmikan majlis.



Tambah beliau, fokus latihan terarah kepada pembinaan aspek jasmani dan fizikal serta kerohanian bagi memastikan mereka tampil sebagai seorang perajurit yang berkeyakinan, beketerampilan, berdisiplin dan kompeten.

“Seramai 2,525 orang perajurit muda telah berjaya menamatkan latihan yang bermula sejak 12 April yang lalu,” katanya lagi.

Zamrose turut menyatakan TDM dalam proses pembesaran dan pewujudan beberapa formasi dan pasukan baharu sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Pelan Strategik Tentera Darat serta Army 4Next Generation (Army 4NextG).

“Sehubungan itu, keperluan penambahan anggota akan menjadi keutamaan bagi memastikan kelancaran pengoperasian formasi dan pasukan tersebut,” katanya.

-FF