89 Peratus Pelajar Tajaan Mara daripada Golongan B40

Foto: Gambar fail 

PUTRAJAYA, 13 Okt (Malaysiaaktif) - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menaja 89 peratus pelajar daripada golongan B40 tahun ini sekali gus menafikan dakwaan tajaan itu mengutamakan pelajar daripada keluarga T20.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata hingga 30 September lepas, seramai 50,555 pelajar telah mendapat tajaan MARA melibatkan 44,994 atau 89 peratus daripada golongan B40, 5,055 atau 10 peratus daripada M40 dan 506 atau satu peratus daripada golongan T20.

“Peratusan itu jelas menunjukkan bahawa pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersama MARA sememangnya memberikan keutamaan kepada anak-anak daripada keluarga B40 sekali gus menafikan dakwaan tajaan MARA lebih mengutamakan pelajar daripada keluarga T20,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata MARA sejak dahulu lagi berpegang kepada dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar bagi mendapat akses kepada pendidikan yang lebih baik.

Menurut Mahdzir, MARA menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula daripada program persediaan hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) termasuk kursus pentauliahan profesional, kepakaran dan program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan.

Bagi 2021 MARA telah menyediakan peruntukan untuk membiayai seramai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 pelajar baharu.

“Pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan ini bukan hanya tertumpu dari aspek status sosioekonomi keluarga sahaja, tetapi turut mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan pelajar yang dinilai melalui ujian psikometrik, kokurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih. MARA mengutamakan program pengajian dalam universiti terbaik dunia,” katanya.

-- BERNAMA