63 Mangsa Kebakaran di Karak Terima Sumbangan

Laporan/foto: Muhammad Syafiq Irman Ali/Izarina Kulub Mat Isa (Bentong)

BENTONG, 13 Okt (Malaysiaaktif) - Kerajaan persekutuan akan membantu membangunkan semula penempatan di Kampung Baru Karak yang musnah dalam kebakaran pada 1 Oktober yang lalu.

Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique, pembangunan kampung yang musnah terbakar baru-baru ini akan dibangunkan semula melalui jawatankuasa khas yang akan menyediakan perancangan pembinaan penempatan baharu melalui dana yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.

“Untuk membangunkan kembali kampung baru di seluruh negara bukan sesuatu yang mudah.

“Oleh yang demikian,  tindakan kawalan terhadap perkara asas perlu diambil terlebih dahulu,” katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan kebakaran Kampung Baru Karak, di sini semalam.

Beliau memaklumkan satu perbincangan akan dibuat dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong yang sebelum ini pernah menguruskan kampung baharu.

“Kalau perlu kita akan jalankan kajian dan meneliti perancangan lain untuk tujuan pembangunan ini.

“Usaha sedang giat dijalankan dengan perancangan pembangunan semula itu akan dibincangkan bersama kerajaan negeri selain turut mengambil kira pandangan dan suara penduduk,” ujarnya.

Beliau berkata proses pembinaan akan mula dilakukan secepat mungkin selepas segala proses yang diperlukan siap.

Menteri Perpaduan negara yang bertanggungjawab ke atas semua kampung baru di seluruh negara menyampaikan sumbangan RM183,000 untuk pembangunan baru Kampung Baru Karak di mana hasil kutipan sebanyak RM194,000 juga diterima daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada 1 Oktober lalu, 55 buah rumah dan lapan buah kedai musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Baru Karak yang melibatkan 162 orang mangsa.

-AH-