Musim Baharu Mansau Ansau Ahad Ini

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/RTM Sabah (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Musim baharu program televisyen, Mansau Ansau terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini memasuki episod tiga dan akan ditayangkan pada Ahad ini.

Ketua Penolong Pengarah (Rancangan TV) Jabatan Penyiaran Negeri Sabah Aris Arapa, berkata episod berkenaan akan menampilkan lokasi pelancongan di daerah Sandakan dan dijayakan bersama Tourism Malaysia Sabah.

"Mansau Ansau mengetengahkan Daerah Kuala Penyu dalam dua episod sebelum ini dan pada Ahad ini daerah Sandakan pula mengambil tempat, sebelum daerah Penampang diikuti dengan Lahad Datu, Tenom, Keningau, Kota Belud, Tuaran dan sebagainya.

"Sambutan setakat dua episod ini sangat menggalakkan dan kebanyakan penonton menyambut baik kerana ingin mengetahui tempat-tempat pelancongan yang mula dibuka dan sesuai mereka kunjungi dengan mengetahui SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di pejabatnya, di sini hari ini.

Aris berharap program Mansau Ansau dapat membawa kembali sinar harapan baharu kepada sektor pelancongan Sabah. Aris berharap program Mansau Ansau dapat membawa kembali sinar harapan baharu kepada sektor pelancongan Sabah.



Menurut Aris, sambutan penonton pada episod pertama juga amat menggalakkan, ramai yang memberikan maklum balas bahawa tempat yang dipaparkan tidak diketahui kewujudannya walaupun kebanyakan penonton berasal dari Kuala Penyu.

"Dalam program ini, Seksyen TV RTM Sabah dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah menyelami dan menyelusuri cabaran yang dihadapi kebanyakan pengusaha pelancongan di negeri ini akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

“RTM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam usaha menjayakan program TV yang memberi manfaat kepada masyarakat termasuklah sektor pelancongan yang sangat dekat di hati rakyat Sabah kerana menjadi antara punca pendapatan penduduk setempat," katanya.

Antara proses penggambaran Mansau Ansau musim keempat dijalankan dengan norma baharu. Antara proses penggambaran Mansau Ansau musim keempat dijalankan dengan norma baharu.



Aris yang juga bekas penerbit beberapa rancangan dokumentari dan majalah RTM mendedahkan, inisiatif Tourism Malaysia Sabah dan RTM Sabah berkenaan dapat membantu menjejaki dan menyuntik semangat pengusaha pelancongan yang berdaftar dengan badan itu untuk bangkit meneruskan usaha mereka mewarnai sektor pelancongan di Sabah meskipun terjejas ekoran pandemik yang melanda dunia.

"Meski berdepan cabaran penggambaran dengan norma baharu, program travelog pada musim keempat ini membawa penonton melihat sendiri tempat-tempat menarik di Sabah yang kurang diketahui orang ramai tetapi mempunyai potensi besar untuk menarik kunjungan para pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya amat berharap program TV ini berpotensi mempromosikan tempat-tempat menarik di Sabah terutama dalam membawa kembali sinar harapan baharu terhadap sektor pelancongan negara khususnya di Sabah pasca pandemik,” katanya.

Beliau berharap, kolaborasi seumpama akan diperluaskan lagi pada masa depan bersama badan-badan bukan kerajaan mahupun pihak swasta dalam menjayakan misi dan visi RTM sebagai badan penyiar rasmi negara dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

-RI