Penyamun Bersiri Akhirnya Ditangkap

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

SELAYANG, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Polis mengesahkan berjaya menangkap seorang lelaki yang aktif menyamun di sekitar Selayang secara bersendirian menggunakan senjata.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata pihaknya menerima aduan awam mengenai kejadian samun bersiri yang berlaku di tiga lokasi berbeza.

“Tiga kes samun tersebut berlaku di Selayang Capitol, Bandar Baru Selayang dan Selayang Point dipercayai melibatkan suspek yang sama.

“Suspek bertindak melakukan samun berseorangan ke atas mangsa di tepi jalan, premis kedai atau hotel bersenjatakan pisau dan rotan.

Polis berjaya merampas barangan yang digunakan penyamun bersiri ketika melakukan jenayah samun. Polis berjaya merampas barangan yang digunakan penyamun bersiri ketika melakukan jenayah samun.



“Seterusnya suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan serba guna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat suspek berjaya ditangkap di kawasan Kajang dan merampas sebuah kenderaan pada 9 Oktober lalu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan jenayah dan kesalahan dadah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes samun di sekitar di Gombak, Kajang dan Cheras.

-RI