98.3 Peratus daripada 7,950 Kes Baharu Kategori Satu dan Dua

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Okt (Malaysiaaktif) - Sejumlah 98.3 peratus atau 7,817 daripada 7,950 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan setakat semalam, melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 133 kes atau 1.7 peratus pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen dan kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada jumlah kes baharu itu, 7,921 kes merupakan penularan dalam negara membabitkan 7,275 warganegara dan 646 rakyat asing manakala 29 kes adalah kes import membabitkan 21 warganegara dan lapan bukan warganegara," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau berkata 10,832 kes sembuh dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,227,889.

Dr Noor Hisham berkata 725 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 710 kes melibatkan wabak itu dan 15 lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Mengenai kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula, beliau berkata ia membabitkan 380 kes, dengan 304 daripadanya kes COVID-19 dan 76 lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Beliau berkata 13 kluster baharu dikesan dengan enam kluster membabitkan kluster tempat kerja, tiga kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster membabitkan pendidikan lain, kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan pusat tahanan.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia pada Selasa adalah 0.88 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.09.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

-- BERNAMA