TapawFood Tawar Khidmat Penghantaran Barangan Runcit di Sekitar Langkawi

Laporan/foto : Farhana Azlin Lajis/Muhammad Husaini Harun(Langkawi)

LANGKAWI, 14 Okt (Malaysiaaktif) – Syarikat TapawFood Services memulakan perniagaan pada tahun 2020 dengan menawarkan khidmat penghantaran makanan dan kini, syarikat ini memperluaskan khidmat penghantarannya dengan menawarkan khidmat penghantaran barangan runcit di sekitar Pulau Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat TapawFood Services, Zabel Iqbal Zainon yang juga merupakan pengasas kepada syarikat ini berkata, buat masa ini pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan empat perusahaan runcit utama di sekitar Langkawi iaitu Teow Soon Huat Duty Free, Pasar Raya Kedawang, BHK Duty Free dan PL Soon Huat. Akan datang mulai November 2021, TapawFood juga akan memulakan perniagaan dengan Pasar Raya Borong KH Nizam.

“Sejak mula beroperasi pada Ogos 2020, TapawFood telah berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.5 juta melalui 10,300 orang pengguna berdaftar, 193 orang vendor dan 20 orang penghantar makanan (rider) aktif,” katanya ketika ditemui dalam Program Santai LADA bersama Komuniti di Dataran Lang, Langkawi, semalam.

Sebahagian daripada rider TapawFood. Sebahagian daripada rider TapawFood.



Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Mutalib berkata, bagi merancakkan ekonomi Pulau Langkawi, LADA bekerjasama dengan Syarikat TapawFood supaya proses digitalisasi perniagaan dapat dipercepatkan.

“LADA merupakan sebuah agensi pembangunan pelancongan di Langkawi dan secara tidak langsung terlibat dalam pembangunan ekonomi komuniti setempat dan oleh itu, sebagai tanda sokongan kepada pembangunan ekonomi setempat, LADA memberi suntikan semangat dan dorongan kepada syarikat ini supaya lebih maju dengan menyumbangkan bantuan berjumlah RM16,290.00 dalam bentuk 10 unit Smart Android Mobile POS Terminal, 20 pasang uniform rasmi dan 10 buah kotak penghantaran (delivery box) untuk kegunaan penghantaran makanan Syarikat TapawFood.

"Di samping itu, satu papan iklan (billboard) telah dipasang bagi tujuan mempromosikan syarikat ini untuk tempoh enam bulan sejak September yang lalu,' katanya.

Jelasnya lagi, dengan adanya kerjasama ini, kita berharap agar mereka dapat maju ke hadapan dan bersaing dalam industri penghantaran makanan serta lebih bersemangat untuk meluaskan perniagaan mereka secara atas talian melalui aplikasi TapawFood terutamanya pengusaha makanan yang terdiri daripada suri rumah.

Salah seorang penghantar makanan (rider) Muhammad Haziq Hazim Abdullah, 20 berkata, TapawFood memberikan dia peluang pekerjaan di mana sebelum ini dia bekerja dalam bidang perhotelan.

Haziq bersama motosikal yang digunakan untuk menghantar pesanan yang diterima menerusi aplikasi TapawFood. Haziq bersama motosikal yang digunakan untuk menghantar makanan serta barangan runcit.



“Saya mula menceburkan diri dalam bidang penghantaran makanan sejak sebulan yang lalu dan alhamdulillah setakat ini pendapatan  tidak terjejas walaupun bergantung kepada tempahan yang diterima.

“Kami berharap akan lebih ramai pelancong berkunjung ke Langkawi serta penggunaan aplikasi TapawFood semakin meningkat ekoran daripada pembukaan gelembung pelancongan di Langkawi serta kebenaran rentas negeri oleh pihak kerajaan dan sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan harian kami,” ujarnya lagi ketika ditemu bual, semalam.

~RJ~