Pulau Batu Layang Lokasi Tumpuan Pelancong ke Perlis

Laporan/foto: Wan Muhamad Zikri Wan Kamis/Anuar Che Amat (Kuala Perlis) 

KUALA PERLIS, 14 Okt (Malaysiaaktif) - Pulau Batu Layang merupakan sebuah pulau kecil yang tidak berpenghuni terletak 1.3km dari pesisir pantai Kuala Perlis adalah satu-satunya pulau yang terdapat di negeri ini yang terdiri daripada batu-batu sahaja.

Lokasi ini juga merupakan tempat tumpuan berikutan perairannya yang menjadi antara lubuk serta tarikan ikan lumba-lumba dari spesies Indo Pacific Humpback.

Menurut seorang penduduk tempatan yang ditemui, Ahmad Syamil, 37, kewujudan ikan lumba-lumba di perairan Kuala Perlis ini di katakan telah bermula sejak puluhan tahun yang lalu.

“Kuala Perlis dan kawasan sepanjang 10.5 batu nautika daripada garis pantai tersebut menjadi tumpuan ikan lumba-lumba disebabkan ia kaya dengan sumber makanan.

“Selain itu, lokasinya yang terlindung dengan kepulauan Langkawi dari arah barat manakala di sebelah utara pula bersambung dengan lautan andaman selatan Thailand menjadikan airnya selalu tenang serta menjadi tempat pembiakan pelbagai spesies marin,” katanya ketika ditemui di Kuala Perlis, di sini, semalam.

Pulau ini juga merupakan pelindung kepada nelayan yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk berlindung dari tiupan angin kuat yang melanda kawasan perairan Kuala Perlis - Sunin Pulau ini juga merupakan pelindung kepada nelayan yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk berlindung dari tiupan angin kuat yang melanda kawasan perairan Kuala Perlis - Sunin



Tambah beliau, ikan lumba-lumba ini mencari makanan di pesisir pantai, terutama ketika cuaca panas dan air pasang namun sejak kebelakangan ini ikan lumba-lumba hanya memburu habitat hidup sebagai makanannya dan tidak memakan bangkai.

“Di sini juga kita boleh melihat spesies unik lain termasuklah ikan yu paus yang mempunyai berat mencecah 15 tan metrik,” ujarnya.

Seorang nelayan yang ditemui, Sunin Pin, 45, berkata kebanyakan pengunjung yang datang ke pulau ini pada waktu malam adalah untuk memancing.

“Pulau ini juga merupakan pelindung kepada nelayan yang menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk berlindung dari tiupan angin kuat yang melanda kawasan perairan Kuala Perlis.

“Para pengunjung yang ingin datang ke sini juga boleh mengunjungi Pengkalan Tok Kuning Kangar yang mana mereka boleh mendapatkan khidmat pemandu bot nelayan dengan bayaran pada kadar yang berpatutan,” katanya lagi.

-NI-