Konvensyen Digital Perlis 2021 Tingkatkan Kesedaran Penggunaan Teknologi Digital

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 17 Nov (Malaysiaaktif) - Konvensyen Digital Perlis 2021 anjuran kerajaan negeri mampu meningkatkan lagi tahap kesedaran penggunaan teknologi digital dalam kalangan rakyat di sini.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, penggunaan platform digital ini akan menjadi komponen penting sebagai penyumbang utama keluaran dalam negara kasar (KDNK ) negara.

"Pada masa yang sama, penganjuran Program Perlis Go Digital 2021-2025 ini juga telah meningkatkan tahap penggunaan digital dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Kita memerlukan idea baharu serta cadangan bagi membolehkan beberapa kelemahan diperbaiki dan ditambahbaik  bagi mempercepatkan lagi proses Perlis Go Digital ini dan atas faktor tersebut pakar-pakar dalam bidang ini telah dijemput untuk berkongsi idea-idea yang baik,” kataya ketika ditemui selepas merasmikan konvensyen tersebut di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini, semalam.

Tambah beliau, Konvensyen Digital Negeri Perlis ini yang bertemakan “Merakyatkan Teknologi Digital Dalam Kehidupan: Perlis Go Digital ,Perlis Produktif” bukan sahaja bagi membendung penularan wabak COVID-19 malah mendidik orang ramai dari pelbagai peringkat untuk mengadaptasi teknologi baharu dalam kehidupan seharian.

Antara panel yang di jemput untuk menyampaikan pandangan di Konvensyen Digital Perlis tersebut. Antara panel yang di jemput untuk menyampaikan pandangan di Konvensyen Digital Perlis tersebut.



"Kita telah merangka beberapa pelan di dalam Perlis Go Digital ini dan salah satunya ialah Portal eBayar Perlis yang membolehkan pengguna membuat pembayaran perkhidmatan jabatan-jabatan negeri secara dalam talian.

“Mengikut data yang diperolehi, kadar pencapaian liputan di negeri ini telah mencapai tahap 93 peratus  dengan kadar penembusan jalur lebar bagi talian tetap per 100 orang penduduk adalah sebanyak 25 peratus manakala jalur lebar mudah alih pula sebanyak 113.1 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, semua pandangan serta cadangan dari pakar-pakar yang dijemput akan diperhalusi dan dibincangkan bagi memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

“Diharap dengan penggunaan idea baharu dapat meningkatkan lagi pencapaian teknologi digital di negeri ini,” tambahnya.

Antara agensi yang terlibat di dalam program ini adalah Perbadanan Produktiviti Negara (MPC), Bank Negara Malaysia, CyberSecurity Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Hamdan Bahari, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan wakil-wakil penduduk.

-NI-